Isnin, 23 November 2009

Gelombang kedua landa Terengganu, 5,427 mangsa dipindah

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU - Gelombang kedua banjir melanda semua daerah di negeri ini kecuali Kuala Terengganu dengan 5,641 mangsa daripada 1,288 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara hari ini.

Daerah berkenaan adalah Kemaman, Dungun, Marang, Setiu, Besut dan Hulu Terengganu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negeri Terengganu berkata, sehingga pukul 6 petang ini, Kemaman mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dipindahkan iaitu seramai 1,329 orang daripada 303 keluarga.

Menurutnya, seramai 1,413 mangsa daripada 305 keluarga pula dipindahkan di Hulu Terengganu dan 1,059 mangsa dari 258 keluarga di Setiu turut mengalami nasib sama.

''Di Besut pula, 1,008 mangsa daripada 236 keluarga dipindahkan manakala 555 mangsa di Dungun dan 277 penduduk di Marang turut dipindahkan ke pusat pemindahan selepas kawasan tersebut dinaiki air," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 18 pusat pemindahan dibuka di Kemaman, Hulu Terengganu (25), Setiu (20), Besut (17), Dungun (11) dan Marang (tujuh) untuk menampung pemindahan mangsa banjir.

Jurucakap itu memberitahu, jalan utama iaitu Jalan Sungai Tong-Kuala Berang berdekatan Kampung Kepah, Hulu Terengganu ditutup kepada semua kenderaan selepas jalan itu dinaiki air setinggi 1.2 meter.

''Jalan Penarik-Permaisuri ditutup kepada kenderaan ringan selepas dinaiki air setinggi 0.5 meter manakala Jalan Ajil- Kuala Berang ditutup kepada semua kenderaan apabila air naik setinggi 0.9 meter," ujarnya.

Beliau memberitahu, Jalan Ajil-Kuantan berdekatan Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu hanya dibuka satu lorong selepas berlaku kejadian tanah runtuh.

Tiada ulasan: