Rabu, 4 November 2009

Ezam, Chandra Muzaffar kelirukan rakyat

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kenyataan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor dan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Chandra Muzzafar bahawa wujud sindrom `3A` dalam parti itu, sebagai cuba mengelirukan rakyat.

Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, isu berkenaan sengaja diperbesarkan oleh dua bekas pemimpin parti itu yang mempunyai agenda mahu menjatuhkan PKR dan Pakatan Rakyat (PR).

"Tidak timbul isu '3A', isu ini sengaja ditimbulkan Ezam. Dia hanyalah seorang budak suruhan Barisan Nasional (BN) sahaja. Tidak payahlah layan budak suruhan ini," kata Ahli Parlimen Batu itu ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Menurutnya, berdasarkan rekod sepanjang 10 tahun perjuangan PKR boleh dikatakan hampir 70 peratus Anwar tidak bersama parti kerana masih dalam tahanan di penjara.

“Saya rasa Ezam dan Chandra Muzaffar juga mengetahui perkara tersebut di mana Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah pada ketika itu menerima sokongan padu pemimpin dalam parti itu.

“Ini kita boleh lihat daripada bukti sedia ada, saya agak kalau ada yang menuduh Anwar bersama `beberapa kerat orang `run the party`. Itu memang tidak tepat,” katanya.

Katanya, Anwar adalah aset penting dalam perjuangan PR kerana beliau berjaya menyampai serta menterjemahkan idealisme perjuangan parti itu.

Menurutnya, Anwar berjaya menyatupadukan DAP dan Pas, orang Islam dengan bukan Islam dengan menggabungkan perspektif antarabangsa dan tempatan dalam PKR dan PR.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau yakin bahawa masalah dalaman PKR dapat diselesaikan dengan cara yang lebih baik tanpa menjejaskan PR.

“Itu adalah masalah dalaman mereka, kita berharap mereka akan menyelesaikan perkara ini secara keluarga oleh PKR, ini saya tidak akan campur, saya tidak mahu komen,” katanya.

Sementara itu, Azmin ketika ditemui, enggan memberikan sebarang komen lanjut meskipun nama beliau turut dikaitkan dua bekas pemimpin PKR itu.

Tiada ulasan: