Sabtu, 14 November 2009

Exco terus bela Jais tahan Asri

Salhan K Ahmad


Exco hal ehwal Islam Selangor berkata tindakan tegas yang dikenakan ke atas Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini antara lainnya bertujuan mengelakkan perpecahan di kalangan orang Islam di negeri itu.

Datuk Dr Hasan Ali, berkata beliau menerima laporan bahawa terdapat ceramah-ceramah agama dibuat di dua hingga tiga tempat berasingan dalam satu lingkungan kawasan yang kecil.

"Apa erti kita nak membangunkan Islam kalau buat (ceramah) berasing-asing?" katanya, ketika menggulung perbahasan bajet 2010 di DUN Selangor semalam.

Tambahnya, tidak timbul soal kekasaran dalam penahanan ke atas bekas mufti Perlis itu, yang disifatkan oleh pihak tertentu seolah-olah seperti untuk menahan pengganas, kerana penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terlatih dalam hal itu.

"Saya telah diberi taklimat beberapa kali oleh pegawai Jais, mereka yang berada di tempat kejadian juga beri taklimat kepada saya.

"Mereka nafi perkara itu. Mereka telah diberikan kursus mengenai aspek perundangan dan juga pendekatan untuk membuat tangkapan," kata Dr Hasan lagi.

"Mereka buat dengan lemah-lembut, dengan menghormati orang, dengan tidak menyentuh sebarang tubuh badan."

Katanya, isu melibatkan penangkapan Dr Mohd Asri itu kini telah difailkan di mahkamah dan "tidak cantik" jika beliau mengulas isu tersebut ketika persidangan DUN.

Mengulas mengenai jumlah besar anggota polis yang dikerahkan oleh kumpulan pegawai penguatkuasa Jais ketika menahan bekas mufti itu, Dr Hasan berkata ia disebabkan kehadiran kira-kira 100 orang di tempat itu.

"Kenapa ramai? Sebab yang ada di situ 100 orang, jadi mereka memandang ke hadapan dan bersedia.

"Mereka menggunakan apa guna segala yang patut dan segala yang adil untukl seorang seperti kedudukan Dr Mohd Asri," jelasnya.

Mengulas lagi rentetan peristiwa menjelang tengah malam 1 November lalu di sebuah banglo di Hulu Kelang, beliau berkata 100 orang hadirin di situ telah bertindak menghalang anggota penguatkuasa daripada menahan Dr Mohd Asri.

"Lepas habis ceramah, saya diberitahu (Dr Mohd Asri) dibawa masuk ke bilik. Ada 100 orang di luar bilik itu pula buat perisai.

"Mereka hanya datang untuk beritahu (Dr Mohd Asri) langgar peraturan enakmen pentadbiran (Islam) 2003. Tapi itu tidak boleh dilakukan hingga jam 12 lebih," katanya.

Dr Hasan berkata beliau tidak mempunyai apa-apa masalah untuk bertemu dengan Dr Mohd Asri bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak tokoh agama popular itu.

"Ketika dia mula-mula balik dari Jordan dulu, saya antara orang pertama yang bermesyuarat dengan (Dr Mohd Asri). Saya tidak ada masalah untuk bertemu beliau," katanya.

Beliau turut menafikan wujudnya "tangan-tangan ghaib" yang menghalang individu tertentu daripada menerima tauliah untuk mengajar agama di Selangor seperti dibangkitkan ADUN Pakatan Rakyat, Saari Sungib.

Dr Hasan berkata, dakwaan "tangan ghaib" itu tidak timbul kerana hanya Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri itu yang digunakan sebagai asas pentadbiran.

"Kalau kita ada peraturan tapi tak ikut, nanti akan jadi anarki. Kita tidak mahu perkara agama jadi anarki.

"Kalau kita keluarkan pendapat yang bertentangan dengan enakmen itu sendiri, pun akan jadi sukar kepada kita untuk mentadbir. Enakmen itulah yang menjadi kamus kita untuk mentadbir," katanya.

Menjawab satu soalan daripada Saari, wakil rakyat PAS bagi Hulu Kelang, Dr Hasan berkata ulama juga perlu meletakkan kepercayaan kepada ahli-ahli jawatankuasa pentauliahan.

"Kita kena bagi kepercayaan kepada jawatankuasa, kena yakin kepada orang dalam jawatankuasa itu.

"Kalau ada teman yang minta tauliah guna budi bicara tapi jawatankuasa tidak luluskan, boleh datang berjumpa dan dapatkan sebab apa tidak dapat tauliah," katanya.

Tiada ulasan: