Sabtu, 21 November 2009

Empat peratus anak tidak ke sekolah: Unicef

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) dalam satu kajian rambang mengenal pasti tiga hingga empat peratus kanak-kanak Malaysia tidak ke sekolah meskipun mereka mencapai umur persekolahan.

Wakil Unicef di sini, Youssouf Omar berkata, Unicef setakat ini tidak mengenal pasti punca kanak-kanak terbabit tidak bersekolah seperti kanak-kanak lain yang bersekolah.

“Kami tidak tahu dari mana kanak-kanak ini datang serta apa yang mereka lakukan dan Unicef sedang berusaha keras untuk mengenal pasti di mana mereka,” katanya pada sidang media pelancaran Forum Pendidikan Bagi Setiap Kanak-kanak di sini, semalam.

Youssouf berkata, kemungkinan besar kanak-kanak berkenaan kebanyakannya anak masyarakat Orang Asli atau mereka yang tidak mempunyai sijil kelahiran.

“Mungkin kanak-kanak ini berasal dari kawasan luar bandar, yang tinggal di bawah paras garis kemiskinan dan mereka tidak mempunyai sijil kelahiran dan tidak memohon kad pengenalan, menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk bersekolah,” katanya.

Sementara itu, Datin Paduka Marina Mahathir yang hadir pada sidang media itu berkata, Kementerian Kesihatan perlu menumpukan hak pendidikan saksama kepada semua kanak-kanak sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

“Kita perlu membantu kanak-kanak ini yang tidak mendapat hak untuk mendapat pendidikan, di mana sahaja mereka berada dan bagaimana mereka bukan satu masalah tetapi kita perlu prihatin dengan pendidikan mereka yang menjadi masa depan negara,” katanya.

Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohammad Ali melancarkan forum sehari itu.

Tiada ulasan: