Sabtu, 21 November 2009

EGM Kedua MCA Dibatalkan, Pemilihan Semula Dalam Tempoh Enam Bulan?

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA mungkin tidak akan diadakan dan komponen parti Barisan Nasional (BN) kedua terbesar itu mungkin mengadakan pemilihan semula dalam tempoh enam bulan, menurut sumber parti itu.

Menurut sumber itu, kedua-dua pihak kini berusaha ke arah tersebut kecuali persoalannya sekarang bilakah pemilihan semula itu akan diadakan memandangkan kedua-dua pihak yang berbalah tidak bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan untuk pemilihan semula itu diadakan.

Kumpulan yang diketuai Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersetuju mengadakan pemilihan semula selepas sistem undian terus dikemas kini iaitu antara enam ke lapan bulan tetapi kumpulan yang diketuai Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai mahukan pemilihan semula itu diadakan secepat mungkin selepas EGM yang sepatutnya diadakan pada 28 Nov ini, dibatalkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari Jumaat berkata beliau telah mencadangkan rancangan untuk menyelesaikan kemelut itu selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama parti yang bertelagah semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan formula tersebut tetapi berkata pemimpin yang terbabit sedang mengkaji cadangan itu yang beliau percaya akan diterima oleh semua pihak yang terbabit.

"EGM kedua yang dirancang pada 28 November berkemungkinan besar akan dibatalkan sekiranya mereka bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula. Bagaimanapun, sehingga sekarang kedua-dua pihak masih lagi berbincang kerana terdapat cadangan ia sepatutnya diadakan dalam tempoh enam bulan," menurut sumber parti itu kepada Bernama.

Ong telah menyerahkan tugas rundingan itu kepada Dr Chua kerana beliau telah berlepas ke London pagi tadi untuk menghadiri perjumpaan tahunan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO). Beliau dijadualkan pulang Rabu depan.

"Beberapa hari akan datang akan menjadi penting. Mereka harus mencapai persetujuan bilakah pemilihan semula boleh diadakan," katanya.

Apabila dihubungi, Dr Chua enggan mengulas mengenai rancangan itu kecuali berkata sekiranya pemilihan semula itu diadakan, paling awal ia akan diadakan Mac tahun depan dan pemilihan itu akan menggunakan sistem undian terkini dan bukannya sistem undian terus seperti yang dicadangkan.

"Pendirian kami tidak pernah berubah. Kami bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula tetapi bukan mengadakan EGM pada 28 November ini," katanya.

Justeru adalah menarik untuk melihat bilakah dua kumpulan yang bertelagah akan berkompromi apabila Perdana Menteri telah meluahkan harapannya untuk melihat krisis dalaman MCA diselesaikan secepat mungkin.

Najib telahpun mengarahkan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perbincangan bersama pemimpin MCA berdasarkan formula yang dicadangkan.

Perdana Menteri telah berlepas ke Amerika Syarikat untuk lawatan dan akan ke Trinidad and Tobago untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Tiada ulasan: