Khamis, 12 November 2009

Dr Mohd Asri sedia ikut prosedur JAIS

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau bersedia mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs) untuk menerima tauliah menyampaikan kuliah dengan syarat ia perlu adil.

"Adil dalam memohon tauliah yang diberikan. Kalau saya dikecualikan, akan ada orang yang seperti saya juga dikecualikan. Saya minta dilayan adil," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Bendahari Whip Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) Datuk Mohamad Aziz dan turut disertai 15 Anggota Parlimen Barisan Nasional, di bangunan Parlimen di sini semalam.

Pada 2 Nov lepas, Mohd Asri ditahan oleh JAIS pada tengah malam di sebuah banglo di Taman Sri Ukay di Hulu Klang atas pertuduhan menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

Mohd Asri berkata dalam enakmen JAIS, terdapat beberapa orang yang dikecualikan daripada penerimaan tauliah.

"Ada orang boleh dikecualikan oleh JAIS iaitu mufti, ahli fatwa negeri, ahli Majlis Agama Islam Negeri, pensyarah universiti Pengajian Islam. Sepatutnya saya masuk dalam orang yang perlu dikecualikan dan tak perlu dibawa kepada undang-undang.

"Saya tak kata saya mesti diberikan keistimewaan, tetapi berhak dapat keistimewaan di bawah enakmen yang dipinda pada tahun 2008. Saya nak tanya di Selangor berapa ramai ada, cikgu yang bertauliah mengajar agama," katanya.

Tiada ulasan: