Khamis, 19 November 2009

Dr. M lebih selesa berada di luar kerajaan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berpendapat, Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih selesa untuk tidak berada secara langsung dalam Kabinet walaupun sebagai seorang menteri kanan.

Beliau berkata, sebaliknya bekas Perdana Menteri itu dilihat lebih senang memainkan peranannya seperti mana sekarang dengan memberi pandangan dan nasihat dalam mana-mana bidang yang dimahukan dari luar kerajaan.

''Dan saya juga berpandangan bahawa adalah sangat sukar dari segi amalan bagi seseorang bekas Perdana Menteri yang begitu besar jasanya untuk menjadi menteri biasa waima disebut menteri kanan sekalipun,'' katanya.

Rais yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik supaya Dr. Mahathir dilantik sebagai menteri kanan.

Cadangan itu ditimbulkan Abdul Rahim supaya segala kepakaran dan pengalaman Dr. Mahathir dalam mentadbir negara selama 22 tahun dapat dimanfaatkan.

Menurut Rais, sepanjang mengenali Dr. Mahathir secara peribadi selama hampir empat dekad, beliau percaya yang bekas Perdana Menteri itu bukanlah seorang yang berminat dengan jawatan menteri kanan.

Katanya, lagi pula Dr. Mahathir sendiri berulang kali menyatakan sebelum ini yang beliau tidak akan mengikuti apa yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang terus kekal dalam Kabinet negara itu.

''Beliau (Dr. Mahathir) sendiri kerap beritahu rakan-rakan yang beliau tidak berhasrat jadi menteri selepas bersara.

''Tetapi jika kerajaan berhajat memainkan peranannya dalam mana-mana bidang yang membantu negara, itu mungkin beliau lebih lunak menimbangkan,'' jelasnya.

Tiada ulasan: