Jumaat, 13 November 2009

Dr Chua Soi Lek didesak serah jawatan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Memulihkan Integriti MCA (Jamin) mendesak Datuk Seri Dr Chua Soi Lek secara terhormat menyerahkan kembali jawatan Timbalan Presiden MCA yang disandangnya kepada parti seterusnya menghormati keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), yang diadakan pada 10 Oktober lalu.

Pada sidang media semalam, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama beberapa Ahli Jawatankuasa Pusat (CC), termasuk Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun turut mahu Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat akur kepada keputusan EGM itu dalam usaha memulihkan krisis dalaman MCA.

Liow yang juga Naib Presiden MCA menegaskan jawatan Timbalan Presiden parti bukan milik sesiapa sebaliknya harus ditentukan oleh perwakilan dan akar umbi.

“Jawatan nombor dua parti bukan milik Dr Chua atau Liow (saya), ia (jawatan) adalah milik parti... hanya perwakilan yang berhak membuat keputusan,” katanya di Wisma MCA, di sini.

Beliau turut mengadakan perjumpaan tertutup bersama lebih 500 perwakilan dan ahli MCA Johor bagi menerangkan tujuan EGM kedua diadakan pada 28 November ini.

Kelmarin, Dr Chua bersedia menyerahkan jawatan Timbalan Presiden MCA kepada Liow tetapi menegaskan Menteri Kesihatan itu perlu membuat kenyataan

secara terbuka bahawa beliau mahukan jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, Liow berkata, EGM kedua akan tetap diadakan dan pihaknya mendapat sambutan amat menggalakkan daripada perwakilan dan ahli MCA seluruh negara.

“EGM itu akan diadakan seperti dirancang dan ia (EGM) serta dua resolusi yang akan dibentangkan pada mesyuarat berkenaan adalah juga sah.

“Perkara 27 Perlembagaan MCA menetapkan apa juga resolusi boleh dibentangkan pada EGM untuk membolehkan perwakilan membuat keputusan demi kepentingan parti,” katanya.

Liow berkata, pihaknya setakat ini sudah menerima sumbangan sebanyak RM15,622 hasil derma yang disumbangkan oleh cawangan MCA untuk membiayai urusan mengadakan EGM berkenaan.

Tiada ulasan: