Isnin, 2 November 2009

Dr Asri diseret ke mahkamah


MALAYSIA KINI



Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dibawa ke mahkamah syariah Gombak Timur hari ini, dipercayai menyebarkan ajaran Wahhabi.

Beliau berada di perkarangan mahkamah itu sejak 8.45 pagi sebelum dijadual dituduh jam 9 pagi ini.

Bagaimanapun sehingga kini beliau belum dibawa ke depan hakim kerana masih menunggu pihak pendakwaan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bercakap kepada media di luar mahkamah, Dr Asri berkata pihak berkuasa agama itu menahannnya tanpa sebab dan kini sedang memikirkan apakah bentuk tindakan yang akan dikenakan.

Bekas mufti itu, yang sering juga mengeluarkan kenyataan kontroversi, ditahan malam tadi sewaktu menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah Jais di sebuah banglo di Ampang.

Sewaktu ditangkap, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib turut hadir.

Dr Mohd Asri diwakili dua peguam, Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais. Sewaktu mereka menyemak dengan pihak pendaftar mahkamah, tiada pertuduhan terhadap anak guam mereka difailkan.

Menurut laporan Bernama tengah malam tadi, Dr Mohd Asri ditahan ketika berceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri
Ukay, Hulu Klang.

Beliau dilaporkan ditahan semasa berceramah kira-kira pukul 12.10
tengah malam oleh polis serta pegawai Jais dan kemudian dibawa ke balai polis Hulu Kelang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang, termasuk Zuraida dan Saari, lapor agensi berita itu lagi.

Tiada ulasan: