Jumaat, 13 November 2009

Dr Asri akan dituduh 18 Nov ini

MALAYSIA KINI
(kemaskini 5.15pm)


Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan dihadapkan ke mahkamah syariah pada 18 November depan berhubung dakwaan mengajar tanpa tauliah, awal bulan ini.

Beliau mengesahkan telah menerima notis arahan, menjelang tengah hari tadi, untuk hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 9 pagi, Rabu depan.

“Saya sudah terima hari ini dan saya akan hadir,” katanya.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu diminta mengulas perkembangan terkini tuduhan berceramah di sebuah banglo di Hulu Kelang pada 1 November lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Dr Mohd Asri berkata, beliau akan diwakili beberapa peguam, diketuai oleh Kamar Ainiah Raziff daripada tetuan Kamar Ainiah Raziff & Zashidi.

Barisan peguam lain yang akan membantunya akan diumumkan kemudian, tambahnya.

Dr Mohd Asri akan menghadapai satu pertuduhan bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar agama atau perkara mengenai Islam di negeri itu tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, terdapat ura-ura beliau akan didakwa pagi tadi, yang menyebabkan kira-kira 20 wartawan dan jurugambar menunggu di luar mahkamah berkenaan untuk mendengar kes kontroversi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, penolong pengarah unit perhubungan awam dan penerbitan Jais, Mohd Hidayat Abd Rani dilaporkan berkata, tarikh tersebut ditetapkan mahkamah selepas Jais memfailkan kertas pertuduhan terhadap Dr Mohd Asri pada pukul 11 pagi semalam.

Menurutnya, kertas pertuduhan itu difailkan oleh ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd Hamid.

Sebelum ini, Jais dilaporkan akan mendakwa bekas mufti itu pada minggu ini dan akan memohon kepada Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Tiada ulasan: