Selasa, 10 November 2009

Dokumen Rasmi Tiga Projek Akan Diubah Status, Kata Abdul Khalid

BERNAMA


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan mengubah status dokumen rasmi tiga projek iaitu projek penghutanan semula, projek perumahan untuk setinggan di Bukit Botak dan pengagihan tanah seluas 800 hektar kepada para peneroka di Bukit Cherakah.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata walaupun maklumat atau dokumen kerajaan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi dan tidak boleh didedahkan kepada umum tetapi beliau mengambil langkah itu melalui hak beliau sebagai Menteri Besar mengikut Seksyen 2c, akta itu.

Dokumen itu akan diubah status mulai esok, katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan Bajet Selangor 2010 di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Ditanya sama ada tujuan beliau mengubah status dokumen itu sebagai satu usaha untuk membongkar siapa yang terlibat di dalam projekprojek itu, Abdul Khalid berkata beliau berharap pada masa hadapan mereka yang mengendalikan projek lebih berhatihati dan tidak melakukan penyelewengan atau penipuan.

Sementara itu, Menteri Besar berkata kerajaan negeri sudah menyiapkan draf Enakmen Kebebasan Maklumat yang bakal dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada Mac 2010 bagi menggalakkan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Tiada ulasan: