Sabtu, 21 November 2009

Cinta SMS bawa pasangan cacat pendengaran ke jinjang pelamin


Shahrizal Rodzi mencium isterinya Yusmawati Mohamed Yusuf selepas majlis akad nikah di Bandar Mahkota, Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Bercinta dengan berkomunikasi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) membawa sepasang insan cacat pendengaran ke jinjang pelamin

Pasangan Shahrizal Rodzi, 28, dan Yusmawati Mohamed Yusuf, 26, yang berkenalan sejak di bangku sekolah diijabkabulkan pada satu majlis di rumah pengantin perempuan di Bandar Mahkota, Cheras di sini hari ini.

Cacat pendengaran dan bisu tidak menghalang Shahrizal melafazkan akad nikah melalui bahasa isyarat di hadapan jurunikah dengan mas kahwin berjumlah RM80 serta wang hantaran untuk isterinya berjumlah RM8,000.

Pada majlis itu, Shahrizal menghantar sembilan dulang dan dibalas dengan 13 dulang oleh pihak keluarga Yusmawati.

Kerani perabot di sebuah kilang di Alor Setar, Kedah yang dilahirkan pekak dan bisu itu memilih Yusmawati yang senasib dengannya menjadi pasangan hidupnya.

Shahrizal ketika ditemui selepas majlis pernikahan itu berkata, beliau mula berkenalan dengan isterinya sejak menuntut di Sekolah Menengah Seksyen 17 (Pendidikan Khas), Shah Alam empat tahun lalu sebelum sepakat untuk bernikah pada hari ini.

"Selepas tamat persekolahan, saya pulang ke kampung di Kedah dan kami telah putus hubungan selama tiga tahun.

"Pada tahun lalu hati saya tergerak menghubungi kembali Yusmawati. Hasil maklumat rakan-rakan, saya mendapat nombor telefonnya dan mula berbalas SMS," katanya.

Shahrizal yang bertunang dengan Yusmawati pada 7 Julai lalu menyatakan demikian dengan bahasa isyarat yang diterjemahkan bapanya, Rodzi Yaakob.

Menurut Shahrizal, bermula daripada situ, mereka mengenal hati budi masing-masing melalui SMS dan bersyukur bertemu jodoh walaupun menyedari kekurangan dimiliki.

Beliau berkata, isterinya seorang wanita lembut dan mempunyai perwatakan menarik serta suka membuat jenaka sehingga berjaya menambat hatinya dan membawa ke jenjang pelamin.

Sementara itu, Yusmawati pula terpikat dengan Shahrizal kerana budi pekertinya serta bertanggungjawab.

Mengenai perancangan masa depan, Yusmawati yang bekerja sebagai kerani di restoran milik bapanya berharap dikurniakan dengan cahaya mata.

Dalam pada itu, bapa Yusmawati, Mohamad Yusof Mohmad terharu dan gembira dengan perkahwinan anak sulungnya itu.

"Saya dan isteri (Hani Hassan) amat gembira menerima kehadiran Shahrizal sebagai menantu.

"Sebagai bapa, saya mendoakan agar kehidupan mereka kekal sehingga ke akhir hayat," katanya

Tiada ulasan: