Khamis, 26 November 2009

Cari punca bukan Melayu tak minat sertai SPRM'

MALAYSIA KINI


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta mencari punca sebenar mengapa hanya segelintir bukan Melayu yang berminat berkerja di suruhanjaya tersebut.

Gesaan itu dibuat oleh Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn hari ini.

Katanya, mungkin ada sebab-sebab yang munasabah mengapa tidak ramai bukan Melayu yang berminat berbuat demikian.

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menyalahkan soal gaji, masa dan disiplin sebagai punca mereka tidak berminat.

Beliau juga menyifatkan sebagai tidak wajar kenyataan Ahmad Said bahawa kaum Cina di Malaysia lebih berminat menjual aiskrim, VCD cetak rompak dan tidak mahu bekerja bagi jawatan gaji rendah dan tinggi tanggungjawabnya.

Chang juga berkata, kurang minat tersebut mungkin disebabkan persekitaran tempat kerja, sistem naik pangkat dan struktur perkhidmatan awam.

Senario yang sama bukan sahaja berlaku di SPRM tetapi juga di agensi-agensi kerajaan yang lain, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Chang menggesa kerajaan supaya meningkatkan pengambilan bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam, termasuk SPRM supaya ia mencerminkan komposisi rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: