Jumaat, 20 November 2009

Cacat: Nabil didukung ke kelas dapat 5A

UTUSAN ONLINE


PASIR MAS - Pengorbanan seorang ibu mendukung anaknya ke kelas setiap hari sejak dua tahun lalu berbaloi apabila murid itu, Muhammad Nabil Mohd. Nasir, 12, mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Bagi Norlaili Mamat, 40, kecemerlangan anak ketiga daripada tujuh beradik itu merupakan hadiah paling bermakna buatnya disebabkan Muhammad Nabil bukan seperti kanak-kanak biasa.

Katanya, kejayaan yang mengejutkan mereka sekeluarga itu amat manis kerana ia hasil titik peluh Muhammad Nabil yang hanya mengharapkan pengajaran guru di sekolah kerana dia dan suami tidak mampu menyediakan kelas tuisyen untuk anak mereka itu.

"Ketika tahun satu dan dua, saya terpaksa mendukung dia masuk ke kelas kerana kelasnya terletak di tingkat dua Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 1 di sini.

"Anak saya ini mengalami kecacatan pada kaki kiri dan kedua-dua tangannya sejak dilahirkan, namun saya memberikan semangat kepadanya supaya terus belajar tanpa berasa rendah diri.

"Saya bersyukur kerana hari ini Muhammad Nabil telah membuktikannya tetapi ia hanya langkah pertama untuk mencapai kejayaan kerana masih banyak cabaran yang harus ditempuhi selepas ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pelajar kurang upaya itu adalah salah seorang daripada 24 pelajar sekolah tersebut yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR.

Muhammad Nabil bergantung kepada sebatang tongkat untuk bergerak kerana kaki kirinya cacat sejak dilahirkan.

Sementara itu murid tersebut berkata, kecemerlangan dalam peperiksaan adalah hadiah yang mampu diberikan kepada ibunya yang telah banyak berkorban.

"Ini hadiah untuk mama kerana bersusah payah mendukung saya ke sekolah. Saya tidak tahu lagi macam mana untuk membalas jasa ibu saya dan jika keputusan ini menggembirakan dia, saya rasa sangat bersyukur.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada guru-guru dan rakan-rakan yang banyak membantu selama ini dan saya berjanji akan terus menggembirakan keluarga saya," katanya.

Tiada ulasan: