Ahad, 15 November 2009

Beri peluang ramai rakyat dapat faedah

BERNAMA


BACHOK - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta menangguhkan cadangan pemberian subsidi beras kepada golongan miskin pada bulan depan kepada suatu tarikh lain untuk memberi peluang lebih ramai rakyat mendapat faedah.

Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussein bimbang jika cadangan itu dilaksanakan pada tempoh berkenaan, hanya sebilangan kecil iaitu mereka yang mendaftar dengan E-Kasih sahaja yang mendapat faedah.

"Manakala sebilangan besar yang sepatutnya turut mendapat faedah terpinggir kerana mereka tidak sempat mendaftar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan di bawah skim bencana alam Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pangkalan Petah di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 12 nelayan yang rumah mereka rosak akibat ribut dan kehilangan pukat di laut masing-masing mendapat bantuan antara RM2,000 dan RM8,000.

Awang Adek yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO berkata, jika subsidi itu diteruskan, rancangan itu tidak akan mencapai matlamat untuk membantu mereka yang kurang mampu mendapat kupon harga beras yang lebih murah.

"Jika program itu ditangguh ke beberapa bulan lagi, ia akan memberi peluang lebih luas kepada mereka yang belum daftar supaya mendaftar melalui saluran ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, kajiannya mendapati ramai di kalangan pemimpin peringkat bahagian di seluruh negara mahukan skim itu ditangguhkan buat sementara agar pembahagiannya lebih menyeluruh.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, sebagai contoh di Bachok hanya 2,000 orang yang mendaftar sedangkan golongan yang benar-benar layak dan tidak sempat mendaftar ialah 10,000 orang.

Beliau berkata, kerajaan telah menetapkan mereka yang berpendapatan antara RM420 dan RM1,740 sebulan layak mendapat kupon beras yang lebih murah.

"Kerajaan Persekutuan membelanjakan peruntukan sebanyak RM60 juta sebulan bagi tujuan itu," katanya.

Tiada ulasan: