Isnin, 2 November 2009

Bekas Mufti Perlis anggap diri disabotaj JAIS

Oleh ZIEMAN dan SITI AZIRA ABD AZIZ


KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr.Mohd Asri menganggap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang membuatkan beliau menunggu selama lebih sejam di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini, adalah sebagai satu sabotaj.

Sehingga pukul 10 pagi, pihak JAIS masih tidak hadir ke mahkamah, sedangkan Mohd Asri tiba sejak pukul 9 pagi seperti yang diarahkan JAIS.

"Mereka tangkap saya dulu baru tuduh. Tetapi mahkamah kata belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini

"Pihak JAIS yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu 'tangan ghaib' siapa disebaliknya," kata Mohd Asri.

Terdahulu, lebih 100 individu memenuhi perkarangan mahkamah sejak pukul 9 pagi tadi untuk memberi sokongan terhadap beliau yang hadir untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan dipercayai mengajar ilmu agama tanpa tauliah.

Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Azman Shafawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib, Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dan pengasas Sisters In Islam (SIS) Zainah Anwar.

Turut kelihatan ialah wakil kepada Senator Datuk Jamil Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, wakil-wakil Umno, PAS dan PKR; serta enam orang peguam dari pelbagai firma guaman.

Mohd Asri ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah malam tadi, namun dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika Mohd Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Sementara itu, Thalia Rohaina Abdul Latif yang merupakan salah seorang peguam yang hadir di pejabat agama tersebut berkata, perkara ini tidak sepatutnya terjadi dan JAIS sepatutnya membuat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penahanan.

"Mereka (JAIS) datang menyerbu beliau di premis rakannya dan pada waktu itu beliau sedang menikmati makan malam, dan bukannya sedang memberikan ceramah seperti yang didakwa.

"JAIS sepatutnya siasat dulu sebelum membuat tuduhan," katanya.

Tiada ulasan: