Rabu, 4 November 2009

Bebas asap rokok pada musim haji

Oleh Marzuki Yusoff


MEKAH – Kerajaan Arab Saudi akan menggerakkan kempen besar-besaran bagi membebaskan dua tanah suci iaitu Mekah dan Madinah bebas dari asap rokok pada musim haji ini.

Di bawah kempen itu sebanyak 1.5 juta risalah dalam pelbagai bahasa dunia akan diedarkan kepada para jemaah termasuk dalam bahasa Melayu, Inggeris, Turki, Urdu, Perancis dan Parsi.

Pengarah Pengawasan Program Kawalan Tembakau, Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Majed Al-Munif berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada para jemaah untuk menjadikan Mekah dan Madinah sebagai kawasan paling kurang orang merokok di dunia.

Menurut beliau, kerajaan telah menguatkuasakan kawasan dalam lingkungan lima kilometer dari Masjidilharam dan Madinah sebagai zon larangan merokok dengan jualan rokok ditegah sama sekali.

Tinjauan Utusan mendapati poster-poster dan iklan-iklan anti merokok banyak terpampang di papan-papan iklan di banyak kawasan di sekitar bandar Mekah. Bas-bas yang membawa jemaah haji juga digalakkan memasang poster serupa.

Laporan akhbar sebelum ini menyebut bahawa Arab Saudi berada di kedudukan antara 30 negara di dunia yang paling ramai rakyatnya merokok.

‘‘Ibadat haji adalah masa paling sesuai untuk membebaskan diri dari tabiat merokok dan kami memperkenalkan slogan iaitu Sempurnakan Ibadat Haji, Bebaskan Diri Dari Asap Rokok,” katanya seperti dipetik oleh akhbar Arab News hari ini.

Beliau bagaimanapun memberitahu, usaha untuk membebaskan kedua-dua bandar suci itu bebas 100 peratus dari asap rokok menghadapi kesukaran sebelum ini kerana halangan bahasa.

Mekah dan Madinah diisytiharkan sebagai dua tanah suci bebas rokok pada tahun 2002 oleh Raja Abdullah dan sejak itu larangan jualan rokok dikuatkuasakan di kedua-dua bandar tersebut.

Walaupun ada larangan tersebut, tinjauan Utusan mendapati ada jemaah masih boleh memperoleh bekalan rokok melalui agen-agen yang menjualnya secara gelap seperti menjual dadah. Kegiatan menjual rokok secara gelap itu biasanya dilakukan oleh warga asing yang sudah lama menetap di Mekah.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan negara ini akan melaksanakan proses menyuntik vaksin anti flu bagi mengelak wabak selesema babi (H1N1) ke atas jemaah haji tempatan dan para pekerja perubatan.

Penolong Timbalan Menteri Kesihatan (Bahagian Pencegahan), Dr. Ziad Al-Memish berkata, pihaknya akan berusaha melakukan sebaik mungkin untuk menjadikan musim haji tahun ini bebas sepenuhnya dari wabak H1N1.

Arab Saudi mencatatkan 7,000 kes selesema babi dengan jumlah kematian sebanyak 62 orang.

Tiada ulasan: