Isnin, 16 November 2009

Banjir di utara makin buruk

Oleh Nahar Tajri dan Yahya Awang


ALOR SETAR: Banjir di Kedah bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,179 orang membabitkan 280 keluarga, berbanding 684 orang kelmarin.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata, banjir turut merebak ke daerah Pokok Sena yang mengalami bencana gelombang kedua kerana pusat pemindahan di situ ditutup beberapa hari lalu apabila cuaca pulih.

Keadaan ini menjadikan empat daerah di negeri ini kini terbabit banjir, berbanding tiga sebelum ini iaitu Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap.

Banjir menjadi bertambah buruk berikutan hujan lebat setiap petang di beberapa kawasan di negeri ini sejak Jumaat lalu.

Semua mangsa kini ditempatkan di 14 pusat pemindahan berbanding sembilan yang dibuka kelmarin.

Kata jurucakap itu lagi, tiga pusat pemindahan dibuka di Pokok Sena membabitkan 342 orang daripada 78 keluarga.

Katanya, Daerah Kubang Pasu masih mencatat bilangan mangsa tertinggi dengan 494 orang membabitkan 122 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan.

"Di daerah Kota Setar pula 314 mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan, manakala di Padang Terap membabitkan 29 orang daripada tujuh keluarga di satu pusat pemindahan," katanya.

Sementara itu di Perak, keadaan banjir di Bagan Serai bertambah buruk apabila pusat pemindahan baru dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Jelutong apabila dua kampung di Matang Merbau dan Sungai Semambu dinaiki air.

Sehingga jam 5 petang semalam, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah melaporkan, seramai 60 keluarga di Matang Merbau dan 20 keluarga di Sungai Semambu dalam proses pemindahan manakala 50 keluarga di Jalan Baru Alor Pongsu sudah dipindahkan.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian, berkata jika hujan lebat berterusan terutama di Ijuk, Selama, Batu Kurau dan Pondok Tanjung, dijangka paras air di Mukim Beriah akan terus meningkat dan kemungkinan lebih banyak mangsa dipindahkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang melawat mangsa di SK Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu, malam kelmarin, berkata masalah banjir di Kerian dipercayai kerana hujan lebat berterusan di kawasan hulu seperti Ijuk, Selama dan kawasan berbukit termasuk di Batu Kurau dan Pondok Tanjung yang kemudian mengalir ke kawasan rendah.

Katanya, keadaan sama juga berlaku di Lenggong dan Grik yang juga menyaksikan kejadian banjir kilat di beberapa kampung termasuk di pekan Lenggong.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta jabatan berkaitan dan membuat keputusan memohon peruntukan RM36 juta daripada kerajaan pusat bagi membina benteng serta aliran air memindahkan air hujan dari kawasan tinggi ke Sungai Perak.

Zambry juga mengumumkan perpindahan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pongsu (SMKAP) yang turut dinaiki air ke Sekolah Menengah Teknik Kerian (SMTK).

"Semua 130 calon SPM ditempatkan di asrama SMT Kerian di Jalan Bagan Serai Kuala Kurau sepanjang tempoh peperiksaan SPM bagi memudahkan mereka menduduki peperiksaan," katanya.

Tiada ulasan: