Rabu, 18 November 2009

Banjir di Kerian semakin buruk

Oleh ZAINI RABAN


IPOH – Banjir di daerah Kerian semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan hari ini meningkat hampir dua kali ganda kepada 1,137 orang berbanding 593 orang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan banjir selepas perkampungan mereka dinaiki air setinggi satu meter sejak malam tadi.

‘‘Semua mangsa terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat selepas kampung mereka dinaiki air setinggi kira-kira satu meter akibat limpahan Empangan Bukit Merah,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mangsa ialah dari Kampung Changkat Lobak, Kampung Matang Tengah, Kampung Che’ Lah, Kampung Sungai Semambu dan Kampung Sungai Samagagah.

Turut terlibat penduduk Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian, Kampung Euw Sing, Jalan Tali Air Simpang Lima dan Kampung Tersusun Simpang Lima.

Menurut Mat Fauzi, sebanyak tujuh pusat pemindahan banjir dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Surau Matang Tengah, SK Bagan Serai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bagan Serai, SK Jalan Matang Buluh, SJKT Simpang Lima dan SK Tanah Kebun.

‘‘Hujan lebat yang berterusan sejak enam hari lalu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan air Empangan Bukit Merah bagi mengelak bencana lebih besar,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, seramai 123 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir SK Alor Pongsu telah dibenarkan pulang pagi ini.

‘‘Mangsa yang dibenarkan pulang ialah penduduk Kampung Matang Pasir, Parit Simpang Empat dan Parit Simpang Lima.

‘‘Perkampungan mereka sudah selamat untuk diduduki tetapi malangnya banjir kini berlaku di perkampungan lain pula,” katanya.

Beliau berkata, Jalan Bagan Serai ke Selama di Kilometer 10 hingga Kilometer 17 masih ditutup kepada semua lalu lintas.

Tiada ulasan: