Isnin, 16 November 2009

Banjir Di Kedah Semakin Buruk

BERNAMA


ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah semakin buruk dengan jumlah penduduk yang dipindahkan hari ini meningkat kepada 1,793 orang berbanding 1,338 petang semalam.

Daerah Bandar Baharu dan Baling merupakan daerah terbaru yang dilanda banjir apabila seramai 300 orang dari 69 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

"Di Bandar Baharu, seramai 280 orang dari 61 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan manakala di Baling seramai 20 orang dari lapan keluarga masih berada di sebuah pusat pemindahan," kata jurucakap bilik gerakan banjir negeri.

Beliau berkata daerah Kota Setar mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 641 orang dari 185 keluarga dan mereka kini ditempatkan di enam pusat pemindahan manakala daerah Kubang Pasu pula 474 orang dari 119 keluarga yang berpindah ke enam pusat.

"Di Pokok Sena, jumlah mangsa yang dipindahkan ialah 349 orang dari 77 keluarga dan mereka ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, Surau Kampung Permatang Limau dan Dewan Kubang Keriang," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Beliau berkata paras air dua sungai di Kota Setar kini melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kepala Batas mencatat bacaan 4.13 meter (bahaya 3.80 meter) manakala Sungai Pantai Johor pula mencatat bacaan 2.47 meter (bahaya 2 meter). Sementara itu, tinjauan Bernama ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Gunong di sini mendapati bilangan mangsa yang ditempatkan di situ semakin bertambah.

Pembantu Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar Nurul Hafizah Yahya berkata pusat itu dibuka semula pada 14 Nov setelah ditutup dua hari sebelumnya.

"Mereka yang ditempatkan di sini ialah dari 11 kampung, antaranya Kampung Alor Gunong, Kampung Seberang Pumpong, Kampung Jalan Pondok Tanjung Bedil dan Kampung Sungai Baru," katanya.

Seorang mangsa dari Kampung Seberang Pumpong, Samsiah Husin, 73, berkata dia dipindahkan ke situ untuk kali kedua dalam tempoh seminggu.

"Mak Cik dibenarkan pulang tiga hari lepas tapi tidak sempat hendak cuci rumah kerana air naik semula," katanya.-

Tiada ulasan: