Ahad, 22 November 2009

Banjir Berterusan Di Kelantan, Mangsa Bertambah Kepada 793 Orang

MSTAR ONLINE


KOTA BAHARU: Keadaan banjir masih belum reda di Kelantan apabila mangsa yang dipindahkan pagi ini bertambah kepada 793 berbanding 268 orang malam tadi.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata mereka terdiri daripada penduduk di jajahan Kuala Krai dan di Pasir Mas berikutan limpahan air Sungai Kelantan dan Sungai Golok kini melepasi paras bahaya.

"Di Kuala Krai, mereka yang dipindahkan seramai 268 orang daripada 59 keluarga dan di Pasir Mas seramai 489 orang daripada 128 keluarga," katanya kepada Bernama.

Jalan utama yang ditutup kepada kenderaan ringan adalah di Sungai Durian, Kuala Krai manakala laluan alternatif ditutup di Jalan Rantau Panjang ke Panglima Bayu.

Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Tangga Krai di Kuala Krai kini melepasi paras bahaya iaitu di Kusial 17.32 meter (bahaya 16 meter) manakala di Tangga Krai 25.21 meter (bahaya 25 meter).

Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang juga melebih paras bahaya iaitu di Jenob 24.37 meter (bahaya 23.50 meter) dan Rantau Panjang 10.44 meter (bahaya sembilan meter).

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sehingga kini dan keadaan cuaca di Kelantan mendung dengan sesekali hujan lebat dilaporkan.

Di KUANTAN, mangsa banjir yang ditempatkan di surau Projek Perumahan Rakyat Termiskin Kampung Darat di sini kekal seramai 24 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang berkata pusat pemindahan yang dibuka sejak petang Jumaat itu masih menempatkan tiga keluarga selepas kawasan rumah mereka di Kampung Sungai Ular dinaiki air.

"Pemindahan itu hanya melibatkan daerah Kuantan manakala lainlain daerah tiada pemindahan dilaporkan berlaku setakat ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan di seluruh negeri meningkat kepada 2,309 orang daripada 678 keluarga.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu berkata sehingga 9 pagi ini, jumlah mangsa paling ramai dipindahkan ialah di Kemaman melibatkan 711 orang; Hulu Terengganu (595); Besut (516); Setiu (330); Dungun (138) dan Marang 19 orang.

Sebanyak 56 pusat pemindahan setakat ini dibuka di seluruh Terengganu iaitu 14 di Hulu Terengganu, Kemaman (15), Besut (12), Setiu (lapan), Dungun (lima) dan Setiu (dua).

Jurucakap itu berkata semua jalan utama di negeri Terengganu masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan tetapi beberapa jalan negeri ditutup sama ada kepada kenderaan berat atau kenderaan ringan kerana dinaiki air.

Jalan yang paling banyak ditutup ialah di Hulu Terengganu (sembilan jalan); di Setiu (empat); Marang (satu) iaitu jalan Pengkalan BeranganPulau Kerengga.

Paras air sungai utama di Terengganu mencatatkan peningkatan dan melebihi paras bahaya menyebabkan air melimpah.

Paras air di Sungai Besut di Kampung La mencatatkan bacaan 20.78 meter melebihi paras bahaya (19.20 meter); di Empangan Jajar (16.12 meter dan bahaya 14.70 meter); Sungai Setiu, di Jambatan Permaisuri (9.40 meter dan bahaya 8.5 meter) serta di Ibu Bekalan (8.65 meter dan bahaya 8.10 meter).

Sungai Narus di Kampung Langkap paras air kini 22.92 meter melebihi paras bahaya 21.50 meter, di Pengkalan Merbau (16.96 meter dan bahaya 16.50 meter) dan di Kampung Bukit 13.97 meter (bahaya 12.0 meter).

Tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan di Terengganu setakat ini.

Beliau berkata mengikut laporan Jabatan Meteorologi, hujan lebat dan angin kencang diramal berlaku di negeri ini sehingga Rabu.

Tiada ulasan: