Selasa, 10 November 2009

Bai'ah taat setia, bukan cerai isteri: Mahfuz

SINAR HARIAN ONLINE


ALOR SETAR - Memang benar ada bai'ah dalam Pas, tetapi ikrar taat setia kepada parti, bukaannya mencerai isteri dengan talak tiga sekiranya berhenti atau keluar parti, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar,

"Tiada taklik talak tiga dalam Pas yang bermaksud jatuh talak tiga sekali gus bagi seseorang wakil rakyat terhadap isteri mereka jika mereka 'melompat' parti selepas memenangi pilihan raya," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, apa yang dimaksudkan bai’ah dalam Pas adalah lafaz taat setia ahli pada parti bukannya melakukan penceraian seperti yang difahami sesetengah pihak.

“Bai’ah yang diamalkan Pas adalah ketaatan dan kepatuhan ahli terhadap perjuangan parti bukannya menceraikan isteri dengan talak tiga.

“Buat apa kita nak ceraikan isteri sedangkan mereka inilah yang memberi sokongan tetapi kalau ada segelintir ahli yang berfikir mahu menambah isteri, itu mungkin betul,” katanya ketika dihubungi, semlaam.

Beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya ada pihak yang memperbesarkan isu ini kerana mahu menjatuhkan Pas dengan menunjukkan bahawa parti itu tidak mempunyai tanggungjawab terhadap golongan wanita.

Mahfuz berkata, bai’ah yang diamalkan oleh Pas juga tidak pernah membabitkan institusi kekeluargaan kerana ahli Pas tidak mahu berl:akunya pengkhianatan terhadap keluarga.

Menyokong kenyataan Mahfuz itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, ahli Pas bersedia untuk melakukan bai’ah untuk kebaikan mereka, keluarga dan juga parti.

Menurutnya, amalan ini merupakan amalan sama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum baginda berangkat untuk pergi berperang kerana ia merupakan salah satu cara menunjukkan ketaatan seseorang itu terhadap perjuangannya.

“Ahli kita sedia melaksanakan bai’ah sebelum menyertai Pas kerana inilah yang akan membuktikan ketaatan kita kepada parti dan kita juga sanggup berjuang demi mempertahankan Pas.

“Jangan kaitkan bai’ah ini dengan isteri mahupun keluarga kerana ini bukanlah cara yang diamalkan oleh Pas,” katanya.

Beliau berkata, pihak lain diminta agar tidak mencampuri urusan dalaman Pas termasuklah urusan angkat sumpah yang dilakukan kerana ini mampu merobohkan keutuhan yang telah dibina oleh parti itu.

Tiada ulasan: