Ahad, 8 November 2009

'Bai'ah aniaya isteri'

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN


IPOH - Amalan bai'ah untuk kepentingan politik seperti dilaksanakan oleh pemimpin Pas adalah perbuatan yang menganiaya isteri sendiri.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, di dalam Islam, penceraian tidak berlaku berdasarkan bai'ah tertentu tetapi apabila suami melafazkan taklik terhadap isteri.

''Ini masalah politik, kenapa soal politik kita nak menganiaya isteri pula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Harussani diminta mengulas pendedahan beberapa pemimpin Pas bahawa dalam bai'ah atau sumpah taat setia, talak tiga akan jatuh ke atas isteri pemimpin Pas yang mengkhianati parti itu seperti melompat parti.

Menurut mereka, bai'ah itu telah lama dilakukan dan akan dibaca oleh semua calon yang bertanding dalam pilihan raya di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri bagi menjamin kesetiaan mereka.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan reaksi negatif daripada banyak pihak terhadap bai'ah yang diamalkan sesetengah pemimpin Pas itu yang disifatkan sebagai menindas kaum wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, penceraian bukan perkara main-main kerana boleh membawa kemudaratan kepada keluarga yang tidak berdosa.

Tiada ulasan: