Jumaat, 6 November 2009

Bah: Lebih 1,300 pindah di T'ganu, K'tan

BERNAMA
(kemaskini 6.33pm)


Banjir yang melanda Terengganu semakin buruk pada sebelah petang hari ini, dengan 1,035 penduduk daripada 260 keluarga di beberapa daerah dipindahkan ke tempat selamat.

Jurucakap bilik gerakan banjir Ibu pejabat Polis Kontinjen Terengganu berkata sehingga 3 petang tadi, 507 mangsa banjir daripada 144 keluarga dari lapan kampung di daerah Besut telah dipindahkan.

"Seramai 478 penduduk daripada 105 keluarga di Hulu Terengganu juga telah dipindahkan dan 50 mangsa di Dungun juga telah dipindahkan ke tempat seperti sekolah, masjid, surau, balai raya dan rumah saudara-mara," katanya kepada Bernama.

Operasi pemindahan penduduk di beberapa daerah terlibat masih berjalan.

Beberapa jalan utama juga telah ditutup termasuk kepada kenderaan berat, antaranya km 17 Jalan Kuala Berang-Sungai Tong di Kampung Kuala Ping yang dinaiki air sedalam satu meter, manakala di km 13 jalan yang sama di Kampung Kepah, jalan digenangi air sedalam satu meter sepanjang 100 meter menyebabkannya tidak selamat digunakan untuk semua kenderaan.

Di km 8 Jalan Kuala Berang-Telemong di Kampung Bukit Tadok, jalannya ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air setinggi 1.5 meter.

Sehingga 3 petang juga, empat batang sungai mencatat bacaan di paras bahaya ekoran hujan lebat sejak dua hari lepas.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran negeri berkata sungai-sungai itu ialah Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Terengganu dan Sungai Hulu Terengganu.

Katanya, bacaan paras air Sungai Besut di Kampung La, berada pada kedudukan 22.16 meter, melepasi paras bahaya 19.2 meter, manakala di Sungai Setiu, di Jambatan Permaisuri pula, bacaan air ialah pada 9.10 meter, melepasi paras bahaya 8.5 meter.

Di Sungai Terengganu di Kampung Langkap, bacaan paras air ialah 22.6 meter, mengatasi tahap bahaya 21.5 meter, sementara di Sungai Berang, Hulu Terengganu di Kuala Ping, paras air kini 20.64 meter melepasi paras bahaya 20 meter.

Keadaan cuaca di sini mendung dan hujan lebat turun sekali sekala.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan banjir yang mula melanda sejak awal pagi tadi.

Sementara itu, dalam satu laporan awal Bernama, Kuala Krai dan Pasir Mas merupakan dua jajahan yang mula dilanda banjir di Kelantan apabila lebih 300 mangsa dilaporkan mula dipindahkan sejak tengah hari ini berikutan limpahan air Sungai Kelantan dan Sungai Golok.

Ketua Pegawai Bilik Operasi Gerakan Banjir Negeri, Mohd Anis Hussein berkata di Pasir Mas sejumlah 190 mangsa banjir telah berpindah manakala di Kuala Krai membabitkan 130 orang.

"Bacaan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan di Rantau Panjang sudah melepasi paras bahaya iaitu di Jenob 24.52 meter (bahaya 23.50 meter) dan di Rantau Panjang 9.94 meter (bahaya 9 meter)," katanya kepada Bernama.

Mohd Anis berkata bacaan di beberapa tempat di sepanjang Sungai Kelantan juga dilaporkan mula menghampiri paras bahaya berikutan hujan lebat sejak awal pagi ini.

Bagaimanapun setakat ini tiada kemalangan jiwa dan jalan utama yang terputus akibat banjir dilaporkan.

"Mangsa banjir telah dipindah ke sekolah-sekolah, pejabat dan surau yang dijadikan pusat pemindahan sementara dan kemungkinan ada juga yang berpindah ke rumah saudara-mara," katanya.

Cuaca di Kelantan ketika ini mendung dengan sekali sekala hujan lebat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Azmi Osman berkata seramai 540 pegawai dan anggotanya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi membantu mangsa banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Katanya, pihaknya akan membekukan cuti semua kakitangannya bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika banjir bertambah serius.

Tiada ulasan: