Isnin, 9 November 2009

Bah: 8 sekolah ditutup

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA BHARU: Enam sekolah rendah (SK) dan dua sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang menempatkan kira-kira 5,000 murid di sekitar jajahan Tumpat dan Pasir Mas, ditutup mulai hari ini kerana ditenggelami banjir.

Sekolah berkenaan ialah SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan, SK Teluk Jering dan SK Bunohan di Tumpat; manakala di Pasir Mas ialah SK Meranti, SMK Meranti, SK Lubok Setol dan SMK Rantau Panjang.

SK Bunohan ditutup untuk dijadikan pusat pemindahan lebih 500 mangsa banjir sekitar Bendang Pak Yong sejak pagi semalam selepas banjir semakin buruk akibat limpahan air Sungai Golok.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Ghazali Abd Rahman, berkata calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Meranti dan SMK Rantau Panjang ditempatkan di asrama sekolah masing-masing untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Katanya, jabatan juga menyediakan pusat pemindahan banjir alternatif untuk mereka sebagai persediaan jika banjir berterusan.

"JPN sudah mengeluarkan notis awal kepada semua guru besar dan pengetua sekolah terbabit supaya mendapatkan bantuan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan tiada calon SPM yang terjejas dan terlepas peluang menduduki peperiksaan," katanya.

Mohd Ghazali berkata, pihaknya masih memantau perkembangan banjir, khususnya sekitar Tumpat dan Pasir Mas yang dijangka bertambah buruk dan kemungkinan lebih banyak sekolah ditutup.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi pula menasihatkan ibu bapa di kawasan terjejas banjir meningkatkan pemantauan.

Sejak banjir melanda Kelantan pada Jumaat lalu, seorang pemuda menjadi korban selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Pasir Puteh. Mayat mangsa ditemui tersangkut pagi semalam.

Tiada ulasan: