Sabtu, 28 November 2009

Asri nafi ditawar jadi calon pembangkang Kota Seputeh

Oleh Haika Khazi dan Mior Azlan Mior Kamarul Shahid


BANDUNG: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menafikan beliau menerima tawaran untuk menjadi calon pembangkang jika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh, Kedah, diadakan tidak lama lagi.

Malah, Mohd Asri berkata, sehingga kini beliau tidak pernah dihubungi atau berunding dengan wakil mana-mana parti sama ada pembangkang atau Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di DUN berkenaan.

“Alhamdulillah, setakat ini memang tiada mana-mana wakil parti pembangkang atau BN yang menghubungi saya untuk meminta menjadi calon. Jika ada pihak yang menawarkannya, saya tidak akan menjadi calon buat masa ini.

“Bagaimanapun, saya akan cuba sedaya upaya untuk bersahabat dan berkhidmat dengan semua pihak tanpa mengira fahaman politik sama ada BN atau pembangkang. Jika saya menyertai mana-mana parti politik, ini bermakna saya akan membunuh kehidupan saya sebagai seorang penceramah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah laman web yang mengatakan Dr Asri bakal mewakili pembangkang jika pilihan raya kecil DUN Kota Seputeh diadakan tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Asli, berkata beliau juga akan mencari alternatif lain jika dirinya dilarang berceramah di Selangor kerana tidak mempunyai tauliah dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Tiada ulasan: