Rabu, 11 November 2009

Asri dijangka didakwa Jumaat ini

Rahmah Ghazali


Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dijangka didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur Jumaat ini kerana memberi ceramah tanpa tauliah, kata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini.

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam, penolong pengarah perhubungan awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani berkata kertas siasatan kes Dr Mohd Asri "hampir siap".

Menurutnya, pihak pendakwa kini sedang menyemak kertas siasatan tersebut sebelum mendakwa Dr Mohd Asri di mahkamah.

NONEMohd Hidayat berkata, Jais akan juga mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah Gombak untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Syariah Shah Alam kerana ia dianggap kes 'berprofail tinggi'.

"Ia juga memudahkan kami menguruskan kes tersebut dari Shah Alam... selain itu, permohonan seumpama itu dibenarkan mengikut undang-undang," katanya.

Langkah terbaru Jais itu dijangka mencetuskan bantahan pelbagai pihak yang sebelum ini mengecam penangkapan bekas mufti Perlis itu ketika memberi ceramah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Gombak pada 1 November lalu.

Pemimpin Pakatan Rakyat dan BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengecam tindakan terhadap Dr Mohd Asri itu, kerana berpendapat bekas mufti Perlis itu tidak perlukan tauliah kerana beliau merupakan seorang ahli agama terkenal.

Tiada ulasan: