Isnin, 2 November 2009

Anggota polis patah jari diserang penyamun

BERITA HARIAN ONLINE


JERTIH: Seorang anggota polis patah jari tangan kirinya selepas diserang dengan parang oleh lelaki yang disyaki melarikan lori curi di Kampung Derdap, Gaal, Pasir Putih, Kelantan, pagi kelmarin.

Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai bahu dan peha lelaki berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata anggota polis itu, Lans Koperal Rizal Anuar, 35, bersama lima rakannya sebelum itu mengekori sebuah lori yang disyaki dicuri dari Jalan Padang Luas di sini.

“Apabila lori tiba di Kampung Derdap kira-kira jam 11.45 pagi, ia terlanggar pembetung air. Apabila Rizal memperkenalkan diri sebagai polis, pemandu itu mengeluarkan parang dan menyerangnya.

“Dalam pergelutan itu, suspek bertindak menetak tangan kiri mangsa hingga menyebabkan jarinya patahnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Besut di Kampung Raja dekat sini, semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas dua parang sepanjang 60 sentimeter, nombor pendaftaran palsu, cukai jalan dan sebuah lori tiga tan daripada suspek.

Kamaruddin berkata, suspek yang berasal dari Besut kini menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, manakala rakannya yang berusia 26 tahun dari Pasir Mas, Kelantan turut ditahan oleh polis.

“Lori dipandu suspek dilaporkan hilang di Pulau Pinang dan menggunakan nombor pendaftaran WSU 842 ketika ditahan,” katanya.

Tiada ulasan: