Khamis, 5 November 2009

Ahli Parlimen PR wilayah mahu jumpa Menteri bincang isu PPR

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR : Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan akan menghantar satu memorandum khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan mengenai isu penjualan perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Projek Perumahan Awam (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negera (MTEN).

Memorandum berkenaan juga bagi membantah perlantikan lima orang ahli politik Barisan Nasional ke dalam Ahli Lembaga Penasihat DBKL yang jelas melanggar undang-undang akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Dalam satu kenyataan bersama di lobi parlimen pagi tadi, mereka berkata, meskipun ahli-ahli parlimen Pakatan Wilayah Persekutuan menyambut baik penjualan ini, namun mereka mendapati terlalu banyak kesan negatif kepada pembeli dan penyewa unit-unit perumahan berkenaan pada masa akan datang.

Mereka juga mengambil kira keluhan dan kebimbangan penyewa dan penghuni akibat daripada dasar dan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Keputusan itu juga dibuat kementerian terbabit tanpa mengadakan perbincangan dengan ahli parlimen Pakatan Wilayah Persekutuan.

Memorandum yang akan dihantar itu mengandungi lapan gesaan serta cadangan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, iaitu:

1) Mengkaji semula syarat dan terma penjualan yang ditetapkan.

2) Memastikan DBKL terus menyelenggara unit dan kawasa perumahan yang telah dijual, bukan 'joint management body' (JMB)

3) Membaik pulih semua unit yang rosak serta prasarana dan kemudahan awam kawasan perumahan sebelum dijual

4) Memberi peluang kepada semua penyewa unit di keseluruhan kawasan perumahan di Wilayah Persekutuan

5) Memberi peluang kepada pembeli melantik peguam mereka sendiri bagi perjanjian sewa beli

6) Menyelesaikan masalah strata pembeli terdahulu yamg masih belum memiliki hak strata mereka yang melebihi sepuluh tahun iaitu di Loke Yew/Sri Pulau Pinang, Hang Tuah dan Razak Mansion)

7) Memberi kemudahan pinjaman yang dibiayai oleh kerajaan dengan menubuhkan satu dana khas faedah rendah

8) Mengadakan perbincangan dan taklimat kepada semua ahli parlimen Wilayah Persekutuan terlebih dahulu mengenai program penjualan ini.

Turut dipersoalkan kenapa lima ahli politik BN iaitu Ketua Bahagian Umno Seputeh, Musthapa Kama Moh Yusof, Keyua Wanita Umno Lembah Pantai, Datuk Sharifah Aminah Syeh Ahmad, Ketua Umno Bahagian Batu, Yahaya Mat Ghani, Ketua Bahagian MIC Batu, Ramanathan Chinu, dan Ketua Gerakan Batu, Lim Si Pin.

Pelantikan mereka ini dilihat membelakangi wakil rakyat Pakatan yang telah dipilih oleh rakyat.

Sehubungan itu, mereka akan mengatur pertemuan dengan Menteri Wilayah PErsekutuan, Datuk Raja Nong Chick dalam waktu terdekat ini bagi menyerahkan memorandum itu.

10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sebanyak 29, 562 unit PPR di bawah seliaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di 20 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dijual pada harga RM35,000.

Namun penduduk mendakwa mereka tidak diberikan penerangan yang jelas berkenaan proses jual beli dan prosedur yang harus dilakukan bagi mereka yang tidak mahu membeli rumah berkenaan sebaliknya ingin terus menyewa._

Tiada ulasan: