Jumaat, 6 November 2009

ADUN DAP Johor dakwa diugut

BERNAMA


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Dr Boo Cheng Hau membuat satu laporan polis selepas mendapati pintu pagar rumahnya di Taman Universiti di Johor Bahru, ditulis perkataan berbaur ugutan, dua hari lepas.

boo cheng hauPengerusi DAP Johor itu ketika dihubungi hari ini berkata laporan polis itu dibuat kira-kira pukul 10.23 malam tadi di balai polis perumahan berkenaan.

"Tulisan dalam Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu berwarna hitam itu mulanya dilihat anak saya apabila hendak menekan loceng pintu pagar sebelum dimaklumkan kepada saya.

"Ketika itu, saya baru selesai menjemputnya pulang dari sekolah, kira-kira pukul 1.30 tengahari," katanya.

Beliau berkata perkataan Mandarin itu bermaksud "mati" manakala perkataan Bahasa Melayu itu adalah "bodoh".

Dr Boo berkata beliau tidak pasti motif di sebalik tulisan itu tetapi mempercayai ia dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap dirinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara ACP Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: