Rabu, 11 November 2009

Abu Hassan tunggu keputusan mahkamah

SINAR HARIAN ONLINE


ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif mengakui menerima surat pembatalan panggilan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang dijadual bermula 17 November ini.

Abu Hassan bagaimanapun berkata, beliau masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan hadir atau sebaliknya, kerana mahu menunggu perbicaraan semakan semula keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 12 November ini, sebelum membuat keputusan.

“Saya tak mahu ulas lanjut kerana kes ini masih diteliti di mahkamah. Saya tidak mahu mengganggu perjalanan kes. Saya hanya akan ulas setelah keputusan diumumkan,” katanya.

Sementara itu, Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya tetap tidak mengiktiraf Abu Hassan sebagai ADUN Kota Siputeh, dan keputusan itu menyebabkan beliau tidak boleh hadir Sidang DUN 17 November ini.

Bagaimanapun katanya, keputusan muktamad sama ada Abu Hassan boleh hadir atau sebaliknya tertakluk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas kes semakan keputusan SPR berkaitan perkara itu didengar 12 November ini.

“Kita tunggu sahaja keputusan mahkamah yang mungkin diputuskan dua atau tiga hari selepas kes itu didengar 12 November ini.

"Saya yakin keputusan dapat diperoleh sebelum Sidang DUN, kerana kita telah mohon supaya keputusan diumumkan sebelum tarikh itu, bagi memudahkan semua pihak,” katanya.

Dr Abdul Isa berharap perjalanan semakan kes itu berjalan lancar dan tidak ditangguhkan kepada satu tarikh lain, supaya dapat menyelesaikan isu itu sebelum Sidang DUN bermula.

“Buat sementara ini, saya tetap dengan pendirian saya yang tidak mengiktiraf beliau sebagai ADUN Kota Siputeh kerana melanggar peraturan Dewan yang termaktub dalam Artikel 51, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah,” katanya.

Berikutan itu juga, surat pembatalan panggilan ke mesyuarat DUN telah dihantar kepada Abu Hassan beberapa hari lalu, kerana beliau dianggap tidak layak menghadiri persidangan itu.

“Selebihnya saya serahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya. Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada Abu Hassan, maka dia boleh hadir,” katanya.

Sidang DUN Kedah dijadual bersidang 17 November ini selama tiga hari bagi membentangkan bajet Kerajaan Negeri.

Tiada ulasan: