Isnin, 9 November 2009

Abdul Taib rombak Kabinet Sarawak

BERITA HARIAN ONLINE


KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, petang semalam mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan enam muka baru dan pengguguran tiga muka lama, selain perubahan portfolio empat menteri kanan termasuk dua Timbalan Ketua Menteri.

Rombakan Kabinet itu disifatkan Taib sebagai persiapan ke arah pendekatan baru dalam pentadbiran kerajaan negeri dan selari dengan dasar baru Kerajaan Persekutuan, sekali gus sebagai persiapan memantapkan pentadbiran menjelang pilihan raya umum akan datang dan menjayakan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Enam muka baru yang kesemuanya dilantik sebagai Menteri Muda ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jepak, Datuk Talib Zulpilip; Abdul Wahab Aziz (Kelaka) dan Dr Stephen Rundi Utom (Kemena) masing-masing dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu - PBB); Adun Tasik Biru, Peter Nansian Ngusie (Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP); serta dua dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) iaitu Mong Dagang (Begunan) dan John Sikie Tayai (Kakus).

Beliau yang mengadakan sidang media mengenai rombakan Kabinet berkenaan di Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia, turut mengumumkan bahawa barisan baru berkenaan akan berkuat kuasa pada 1 Disember ini.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan pula bertukar portfolio daripada Menteri Permodenan Pertanian kepada Menteri Pelancongan, namun beliau mengekalkan portfolio sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang bertukar portfolio daripada Menteri Pembangunan Infrastruktur kepada Menteri Permodenan Pertanian, namun mengekalkan portfolio sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Datuk Amar Abang Johari akan memikul tanggungjawab lebih besar dengan Kementerian Perumahan yang diwakilinya diubah kepada Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, yang mana beliau diberi tanggungjawab untuk menjadikan Bandaraya Kuching sebagai model bandar raya paling pesat membangun di negara ini.

Tiada ulasan: