Jumaat, 27 November 2009

95,826 mohon asrama penuh

Oleh S Anand Kumar


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menerima 95,826 permohonan untuk kemasukan Tingkatan Satu (1) sekolah berasrama penuh (SBP) bagi 2010 untuk mengisi 6,600 tempat yang ditawarkan, kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, keputusan pemilihan dan penempatan pelajar terbabit akan diumumkan selewat-lewatnya 25 Disember ini.

Beliau berkata, semakan mengenai keputusan itu boleh dibuat melalui laman web rasmi kementerian iaitu www.moe.gov.my dan mereka dijangka mendaftar diri di semua 53 SBP yang ditawarkan pada 11 Januari tahun depan.

Katanya, kementerian masih mengekalkan dasar 70/30 dalam pemilihan dan penempatan murid ke SBP bagi 2010, iaitu 70 peratus tempat untuk murid sekolah luar bandar dan 30 peratus (murid sekolah bandar).

“Semua pihak sedia maklum 48,171 murid memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Saya memahami ramai ibu bapa berhasrat untuk menempatkan dan mendapat pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka di SBP.

“Namun begitu matlamat SBP pada dasarnya untuk memberi keutamaan menempatkan murid dari kawasan luar bandar, ” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Selain itu, katanya, pengetua SBP diberikan kuasa autonomi bagi memilih 20 peratus murid untuk ditempatkan di sekolah masing-masing.

“Mereka (pengetua) akan memberi pertimbangan berdasarkan kebitaraan sekolah. Sebagai contoh, jika kebitaraan sekolah bidang muzik, murid yang mempunyai kemahiran dan latar belakang muzik akan diberikan keutamaan untuk dipanggil temu duga serta menjalani proses pemilihan oleh pihak sekolah, ” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga memberi keutamaan kepada anak daripada keluarga berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK).

“Murid dalam kategori ini akan dibantu dari segi bayaran persekolahan, makanan dan keperluan asrama. Mengikut data SBP sehingga 31 Oktober lalu, daripada 32,836 murid di SBP, seramai 5,794 murid diberikan bantuan untuk meneruskan pendidikan mereka dengan lebih sempurna, ” katanya.

Tiada ulasan: