Isnin, 2 November 2009

7 pasangan kekasih dicekup

BERITA HARIAN ONLINE




PENGUAT kuasa JAIP mengambil keterangan pasangan disyaki berkhalwat di sebuah hotel murah di Kuantan, semalam.

KUANTAN: Tujuh pasangan kekasih ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dalam operasi mencegah maksiat di beberapa hotel bajet di sini, pagi semalam termasuk satu pasangan yang memberi alasan terpaksa bermalam kerana mahu menghadiri uji bakat program realiti Raja Lawak dalam usaha melepaskan diri daripada ditahan.

Pasangan terbabit yang berasal dari Bukit Tinggi, Bentong ditahan jam 7 pagi, dan ketika pintu bilik mereka diketuk, seorang lelaki berusia 23 tahun membukanya.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaip, Badarudin Ahmad Bustami, berkata lelaki itu yang memakai seluar pendek dan kemeja-T mengambil masa kira-kira lima minit untuk membuka pintu biliknya.

“Lelaki itu tergamam sebaik membuka pintu sehingga pegawai penguat kuasa memperkenalkan diri dan memasuki bilik. Kita kemudian temui remaja wanita berusia 19 tahun sedang berbaring di atas katil dengan berbaju-T dan bertuala.

“Apabila ditanya sama ada sudah berkahwin, kedua-duanya menafikannya. Lelaki itu memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah termasuk datang ke sini untuk menghadiri uji bakat Raja Lawak.

“Berikutan itu pasangan terbabit ditahan atas kesalahan berkhalwat," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Badarudin berkata, semua pasangan yang ditahan berusia antara 18 hingga 30 tahun dalam operasi yang dijalanakan bermula jam 6.30 pagi hingga 9 pagi.

“Mereka akan didakwa mengikut seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, semua pasangan yang ditangkap dibawa ke pejabat Jaip untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan penguat kuasa dan seorang penjamin.

“Kita bebaskan mereka dengan bersyarat iaitu jaminan seorang penjamin bagi memastikan pelaku maksiat itu hadir pada hari pendakwaan kesalahan di mahkamah nanti, biasanya sebutan kes didakwa sebulan selepas tarikh mereka ditangkap.

“Yang mana masih remaja dan belajar, kita akan maklumkan kepada ibu bapa mereka, biar keluarga masing-masing mengetahui apa kegiatan anak mereka di sini,” katanya.

Tiada ulasan: