Ahad, 22 November 2009

4,744 pusat banjir sedia dibuka

UTUSAN ONLINE


BENTONG - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membuat persediaan rapi untuk menghadapi banjir termasuk membuka 4,744 pusat pemindahan yang mampu menampung 1.3 juta mangsa di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, persediaan lain adalah menyediakan 402 pangkalan untuk simpanan bekalan jika kawasan yang dilanda banjir terputus hubungan.

Beliau berkata, dua buah depot juga sudah beroperasi di Bedung, Kedah dan Muar, Johor.

''Sehingga pukul 2.30 petang ini, pusat pemindahan banjir di Hulu Terengganu melaporkan bahawa empat pusat pemindahan baru telah dibuka bagi menempatkan 133 orang dari 27 keluarga yang dipindahkan kerana banjir,'' katanya selepas merasmikan Majlis Jalinan Rakyat Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Bentong di Kampung Janda Baik di sini hari ini.

Menurut Shahrizat, keadaan banjir di Kedah dan Perak kini semakin pulih dengan hanya 10 pusat pemindahan masih beroperasi. Di Kelantan dan Perlis, katanya, semua pusat pemindahan banjir sudah ditutup sepenuhnya.

''Keseluruhannya, 15 pusat pemindahan dibuka kepada mangsa banjir iaitu tiga di Bandar Baru, Kedah; lima di Kerian dan dua di Manjung, Perak; manakala tiga di Kemaman dan dua di Dungun, Terengganu.

''Mangsa banjir paling banyak dicatatkan di Terengganu iaitu 1,264 orang dari 300 keluarga, diikuti 895 orang dari 209 keluarga di Perak dan 231 orang dari 54 keluarga di Kedah," katanya.

Tiada ulasan: