Selasa, 17 November 2009

4 Rangka Manusia Berusia 1400-1450 A.D Dipamerkan

BERNAMA




Ahli-ahli arkeologi dari Universiti Sains Malaysia mengekskavasi
empat rangka manusia berdekatan tapak bangunan Hong Kong
Shanghai Bank (HBSC) bersebelahan Kubu Fedrick Hendrick di
Bandar Hilir, Melaka tahun lalu. -Foto THE STAR oleh ALLISON LAI

JABATAN Warisan Negara (JWN) akan mempamerkan empat rangka manusia berumur 1400 hingga 1450 A.D yang ditemui di tapak tinggalan Portugis yang dikenali sebagai Kubu Fedrick Hendrick di Bandar Hilir di sini.

Penolong Pengarah Arkeologi dan Konservasi JWN, Mohamad Muda Bahadin, berkata keempat-empat rangka itu akan dipamerkan dalam bekas di tapak bangunan Hong Kong Shanghai Bank (HBSC) bersebelahan kubu itu, yang akan dijadikan Galeri Warisan Kota Melaka tidak lama lagi.

"Satu daripada empat rangka terbabit kini dipamerkan di Muzium Seremban, manakala yang selebihnya masih dikaji di Makmal Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM)," katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat kepada 300 peserta Jejak Warisan Merdeka 2009 di Melaka baru-baru ini.

Beliau berkata rangka-rangka itu ditemui selepas membuat penggalian sedalam 1.5 hingga dua meter dalam tanah di kawasan kubu itu seluas lebih 500 meter persegi yang masih terpelihara.

"Tapak yang kita jumpa di Kubu Fedrick Hendrick ini, didapati pada asalnya kawasan perkuburan. Banyak sekali rangka yang ditemui tapi kami hanya memilih empat rangka terbaik," katanya.

Mohamad berkata artifak lain juga banyak ditemui seperti peluru senapang jenis timah, peluru meriam, duit syiling berasal dari Portugis, Belanda dan Britain.

Menurutnya pecahan seramik dari China, Asia Tengah, Timur Tengah dan Eropah turut dijumpai tetapi kebanyakannya sudah rosak disebabkan penemuan-penemuan itu bukanlah dari tanah yang asal tetapi dari tanah tambakan British setelah tembok asal diruntuhkan.

Beliau berkata sebahagian daripada penemuan artifak telah pun dibawa ke Kuala Lumpur untuk pameran namun sebahagian yang terpilih masih disimpan untuk dipamerkan di Galeri Warisan Kota Melaka yang baru.

Katanya kesemua penemuan ini adalah hasil daripada Projek Ekskavasi Menyelamat Kota Melaka sejak 2007 yang terdiri daripada empat fasa.

"Fasa satu adalah di Kubu Middleburgh yang telah siap pada Ogos tahun lepas, fasa dua di taman kanak-kanak berhampiran Balai Polis Trafik Melaka namun ia belum dibuka, kubu ini pula adalah fasa 2(a), sementara fasa tiga pula di hadapan Istana Kesultanan Melayu Melaka dan empat di kawasan letak kenderaan berhadapan Gereja St Xavier," katanya.

Tiada ulasan: