Isnin, 9 November 2009

3,173 mangsa banjir dipindah

Oleh Wan Faizal Ismayatim, Rohaiza Ab Rahman, Nor Hazwani Hamat, Khaimerol Omar dan Noor Aznida Alias


KOTA BHARU: Seramai 3,173 mangsa banjir daripada 770 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di Kelantan sehingga lewat petang semalam, meningkat daripada 2,061 orang walaupun cuaca cerah hampir di seluruh negeri sejak kelmarin.

Jajahan Pasir Mas khususnya sekitar Rantau Panjang, paling teruk terjejas apabila seramai 2,804 mangsa ditempatkan dari 687 keluarga ditempatkan di 22 pusat pemindahan berikutan paras Sungai Golok masih melebihi paras bahaya 10.22 meter.

Dua lagi jajahan yang terjejas ialah Machang dan Tumpat, masing-masing mempunyai 190 dan 179 mangsa masih ditempatkan membabit-kan empat pusat pemindahan. Tinjauan mendapati, jumlah mangsa semakin meningkatkan di sekitar Tumpat, ekoran usaha memindahkan penduduk sekitar Bendang Pak Yong dan Simpangan yang mula dilanda banjir.

Pusat pemindahan sekitar Bachok, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah serta Kota Bharu pula sudah ditutup sementara, selepas semua mangsa dibenarkan pulang.

Sebuah helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuat tinjauan bagi memantau perkembangan banjir seluruh negeri ini khususnya sekitar Tumpat dan Rantau Panjang.

Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Wan Mohd Sulaiman Wan Ismail, berkata peningkatan jumlah mangsa banjir, termasuk yang terbaru membabitkan jajahan Tumpat disebabkan limpahan air Sungai Golok sekitar Rantau Panjang sebelum ini, kini bergerak menghala ke Tumpat.

"Air sungai di Rantau Panjang yang bergerak ke Tumpat melalui Kuala Jambu menyebabkan beberapa kampung sekitar jajahan Tumpat kini mula digenangi air," katanya ketika dihubungi di sini, se-malam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri, berkata kebanyakan jalan utama seluruh negeri kembali dibuka kepada semua kenderaan kecuali Jalan Rantau Panjang ke Panglima Bayu yang masih digenangi air dan sepanjang jalan di tepi tebing Sungai Golok dari Rantau Panjang ke Tumpat hanya dibuka kepada kenderaan berat.

Beliau berkata, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja dan Kusial, Tanah Merah masih melebihi paras waspada iaitu masing-masing mencatatkan bacaan 3.43 meter dan 13.63 meter, menakala empat lagi sungai berada di bawah paras waspada.

Katanya, Sungai Galas di Dabong mencatatkan bacaan 29.46 meter (paras waspada 32 meter), Sungai Lebir di Tualang 25.71 meter (waspada 27 meter), Sungai Kelantan di Kuala Krai 19.47 (waspada 20 meter) dan Sungai Golok di Jenob 20.45 meter (waspada 21.50 meter).

Sementara itu, kesulitan dihadapi penduduk yang berpindah dari rumah masing-masing ke pusat pemindahan menarik simpati Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, yang berkenan melawat kira-kira 300 mangsa banjir di SK Alor Pasir dekat Tanah Merah, kira-kira 5 petang.

Sempena kunjungan itu, beliau diiringi Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, turut menyampaikan sumbangan kepada semua mangsa terbabit. Terdahulu, Mustapa turut melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang sedang berlindung di SK Bunohan, Tumpat.

Di KUALA TERENGGANU, semua 53 pusat pemindahan banjir di daerah Besut, Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya jam 1 tengah hari semalam selepas mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, cuaca panas terik sejak kelmarin menyebabkan air surut sepenuhnya dan semua mangsa termasuk di kawasan yang paling terjejas berikutan banjir bermula Jumaat lalu iaitu daerah Besut turut dibenarkan pulang.

"Mereka pulang ke rumah berperingkat mulai jam 8 pagi semalam dan selesai kira-kira jam 12 tengah hari. Dengan ini, semua pusat pemindahan ditutup kira-kira jam 1 petang semalam," katanya.

Tiada ulasan: