Isnin, 16 November 2009

31,046 Baucer Rebat RM5,000 Untuk Tukar Proton & Perodua Lama Kepada Yang Baru Habis Dilanggan

Oleh ZULKIFLI ABD RAHMAN


KUALA LUMPUR: Sebanyak 31,046 baucer bernilai RM5,000 dalam bentuk rebat untuk pemiliki kereta yang ingin menukar kereta lama Proton atau Perodua dengan yang baru, habis dilanggan sejak ia dikeluarkan pada 10 Mac sehingga 1 November lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, baucer tunai RM5,000 itu adalah sebahagian daripada pakej ransangan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan awal tahun ini untuk merancakkan pasaran ekonomi yang lembab akibat kemelesetan ekonomi dunia.

“Kerajaan sebenarnya telah bersetuju untuk membiayai sebahagian daripada baucer diskaun itu dan skim itu telah berjaya membantu merancakkan penjualan kereta nasional,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus).

Kepada soalan Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) yang bertanya bagaimanakah kerajaan meletakkan nilai RM5,000 untuk sebuah kereta lama Proton dan Perodua sedangkan nilai kereta biasanya akan menurun selepas mencapai usia 15 tahun, Chor menjawab, kerajaan bersedia untuk memberikan RM5,000 untuk kereta-kereta ini sebagai satu langkah meransangkan ekonomi negara.

“Kerana itu, semua baucer rebat RM5,000 telah habis diberikan sehinggalah skim itu berakhir pada 1 November baru-baru ini,” ujar beliau.

Tiada ulasan: