Isnin, 2 November 2009

2,000 CCTV di Iskandar Malaysia

Oleh SAHBULAH DARWI


JOHOR BAHRU – Sebanyak 2,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) bernilai RM41.4 juta akan dipasang di sekitar wilayah Iskandar Malaysia menjelang penghujung tahun depan.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia merupakan sebahagian langkah yang terkandung dalam Pelan Induk Keselamatan dan Perlindungan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

“Selain itu, seramai 200 polis bantuan akan ditempatkan di Iskandar Malaysia.

“Kos penempatan polis bantuan ini berjumlah RM7 juta dan bagi tempoh yang sama, sebanyak 138 Pos Komuniti Polis akan disediakan di WPI dengan kos berjumlah RM55 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan balai polis dan kelengkapan Balai Polis Teluk Danga, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (IRDA), Harun Johari dan CEO Danga Bay Sdn. Bhd., Datuk Lim Kang Hoo.

Hishammuddin berkata, langkah-langkah berkenaan adalah program berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan termasuk mewujudkan Pos Komuniti Polis di taman-taman perumahan.

Selain memasang CCTV di tempat awam, beliau berkata, kementerian juga akan memperkasakan pasukan polis melalui pertambahan anggota polis bantuan di kelima-lima PBT dalam Iskandar Malaysia.

Menurutnya, ia selaras dengan Konsep Bandar Selamat seperti mana diterapkan di Iskandar Malaysia dan di beberapa tempat di negara ini misalnya di perumahan Ara Damansara, Kuala Lumpur yang dibangunkan oleh pemajunya iaitu Sime Darby Property.

“Melalui konsep ini, pihak pemaju serta swasta berusaha menyediakan kemudahan tertentu seperti balai polis komuniti, CCTV, balai polis bergerak atau kereta peronda di kawasan perumahan yang mereka bangunkan, sebagai komitmen untuk membantu usaha mencegah jenayah di kawasan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, polis Johor juga telah melancarkan pelbagai program dan aktiviti pencegahan dan pembanterasan jenayah khususnya jenayah jalanan.

Menurutnya, ia termasuk menubuhkan Bilik Operasi NKRA serta menubuhkan Ahli Jawatankuasa (AJK) NKRA bagi pengumpulan dan penganalisaan data berhubung NKRA.

“Hasil daripada penubuhan bilik operasi dan AJK NKRA ini, Polis Kontinjen Johor telah berjaya mengenal pasti 15 taman perumahan yang dikategorikan sebagai ‘kawasan panas’ mengikut keutamaan di lapan daerah di Johor,” jelasnya.

Hishammuddin berkata, pada masa yang sama, AJK NKRA itu juga telah menggariskan beberapa pendekatan yang perlu dilaksanakan bagi menangani jenayah jalanan di Johor.

Menurutnya, pendekatan pertama ialah melaksanakan operasi bersepadu secara agresif dan berterusan melibatkan semua jabatan dalam kontinjen Johor serta operasi bersama agensi kerajaan lain.

“Pendekatan kedua ialah melipatgandakan rondaan berkala bersama anggota tambahan daripada Pasukan Persekutuan dan Pasukan Gerakan Am di sekitar ‘kawasan panas’,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan ketiga ialah mewujudkan pelbagai aktiviti di ‘kawasan panas’ seperti rondaan kenderaan MPV, rondaan bit dan patrol, rondaan Konstabel Masyarakat (Konmas) dan rondaan anggota tanpa uniform (CPJ).

Tiada ulasan: