Khamis, 12 November 2009

2 mangsa terbaru bah di Kelantan

Oleh Nahar Tajri, Fazurawati Che Lah, Azahar Hashim,
Kamal Majid dan Khaimerol Harun


KOTA BHARU: Dua kanak-kanak lelaki termasuk bayi berusia 18 bulan, menjadi korban terbaru banjir di Kelantan, ketika semua kawasan yang terjejas akibat bencana alam itu semakin pulih, semalam.

Hingga semalam, empat mangsa korban dilaporkan di negeri ini, sebelum ini pada Isnin lalu, murid prasekolah, Mohd Syakimi Sayuti, 6, lemas selepas dipercayai tergelincir ketika bermain di tali air, di Kampung Banggol Petaling, Pasir Mas, manakala 6 November lalu, Mohd Mazlan Yajid, 28, menjadi korban pertama banjir di Kelantan, apabila beliau lemas ketika mandi di Sungai Banggol Kerian, Pasir Puteh.

Dalam kejadian di Kampung Gading dekat Pasir Mas, jam 2.15 petang semalam, bayi berusia 18 bulan, Mohd Haziq Akmal Mohd Hail, ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam air sedalam 1.5 meter kerana persekitaran rumah neneknya masih digenangi banjir.

Mayat mangsa ditemui terapung dekat pintu pagar rumah terbabit oleh ibunya, Sarimah Mat Salleh, 30, yang berusaha mengesan anak keduanya itu selepas mendapati beliau tiada dalam rumah ketika ingin diajak makan tengah hari.

Dalam kejadian di Kampung Renat, Bukit Bunga, Tanah Merah pula, Mohd Khairi Zakaria, 9, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras Sungai Renat, kira-kira jam 3.30 petang.

Ibu mangsa, Siti Aishah Ismail, 36, berkata kejadian berlaku ketika anak keempatnya daripada lima beradik itu bersama beberapa rakan mengikut bapa saudaranya, Marwan Fauzi, 18, memukat ikan di kawasan sungai berkenaan.

Sementara itu, keadaan banjir di Kelantan dan Kedah semakin pulih apabila cuma 2,442 mangsa masih ditempatkan di 14 pusat pemindahan banjir di kedua-dua negeri semalam.

Cuaca cerah tanpa hujan lebat beberapa hari lalu, membantu memulihkan keadaan banjir di Kelantan, apabila hanya 1,130 mangsa di jajahan Tumpat masih berlindung di tiga pusat pemindahan, hingga petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata, semua mangsa banjir di Pasir Mas termasuk Rantau Panjang, sudah dibenarkan pulang dan semua pusat pemindahan sudah ditutup.

Di ALOR SETAR, hanya 1,312 mangsa masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Daripada jumlah itu, 325 mangsa terbaru di Kulim membabitkan enam pusat pemindahan baru dibuka jam 12 tengah hari semalam akibat hujan lebat dua jam malam kelmarin.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri, berkata daerah Kota Setar mencatat peningkatan seramai 987 mangsa tetapi satu daripada lima pusat pemindahan di daerah itu ditutup semalam.

"Selain itu pusat pemindahan di daerah Padang Terap, Kubang Pasu dan Pokok Sena juga sudah ditutup sepenuhnya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tiada ulasan: