Selasa, 10 November 2009

1,924 mangsa dari empat daerah di Kedah berpindah

UTUSAN ONLINE


ALOR SETAR - Banjir di negeri ini masih serius dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,924 orang.

Mereka ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara di empat daerah yang iaitu Padang Terap, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Kota Setar.

Jumlah mangsa yang dipindah meningkat ekoran paras air di beberapa sungai di empat daerah terbabit kini melepasi paras bahaya.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri Kedah berkata, paras air di dua sungai iaitu Sungai Bata melepasi paras bahaya iaitu 2.34 meter dan Sungai Pantai Johor kini berada pada paras 3.5 meter.

"Mangsa banjir di daerah Padang Terap semakin berkurangan iaitu hanya tinggal dua pusat pemindahan sementara yang masih dibuka.

"Seramai 175 mangsa banjir daripada 41 keluarga masih berada di pusat pemindahan tersebut dan akan dibenarkan pulang sebaik sahaja air surut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya lagi, bagi daerah Kubang Pasu, seramai 439 mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan hanya 568 orang masih berada di empat pusat pemindahan sementara yang masih dibuka di daerah itu.

Jelasnya, daerah Pokok Sena kini mencatatkan jumlah mangsa banjir yang paling tinggi iaitu 802 orang daripada 173 keluarga.

"Sebanyak lima pusat pemindahan sementara dibuka dan hanya satu keluarga dibenarkan pulang ke rumah mereka hari ini," katanya.

Katanya lagi, daerah Kota Setar menjadi daerah terbaru yang dilanda banjir apabila seramai 379 mangsa banjir ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

"Tidak ada mangsa yang dibenarkan pulang kerana air belum surut sepenuhnya," katanya.

Tiada ulasan: