Ahad, 15 November 2009

16 Sept cuti berbayar

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia akan meminda tiga perundangan untuk menjadikan tarikh 16 September iaitu Hari Malaysia, sebagai hari kelepasan berbayar wajib di sektor swasta.

Seksyen 60D Akta Kerja 1955, Seksyen 103(1) Ordinan Buruh (Sabah) dan Seksyen 104(1) Ordinan Buruh (Sarawak) akan dipinda untuk tujuan itu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat dasar bagi kementerian itu, semalam.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata pekerja syarikat penerbangan tambang murah AirAsia boleh menubuhkan kesatuan sekerja mengikut Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Bagaimanapun, mengikut rekod kementerian itu, tiada permohonan daripada pekerja AirAsia untuk menubuhkan kesatuan sekerja.

“Sehingga hari ini kementerian juga tidak ada menerima sebarang aduan yang menghalang pekerja-pekerja syarikat Penerbangan AirAsia untuk menubuhkan kesatuan sekerja,” katanya.

Isu AirAsia itu dibangkitkan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) pada sesi perbahasan apabila beliau mendakwa pihak majikan memberi tekanan kepada pekerja supaya tidak menubuhkan kesatuan sekerja.

Syarikat itu juga didakwa tidak membenarkan pekerjanya menyertai kesatuan itu dan akan dibuang sekiranya mereka menubuhkan kesatuan sekerja.

Tiada ulasan: