Ahad, 1 November 2009

11,178 jemaah haji kita di Tanah Suci

BERNAMA


MAKKAH: Seramai 11,178 jemaah haji Malaysia sudah tiba di Tanah Suci setakat ini menerusi 32 penerbangan sewa khas Tabung Haji, kata seorang jurucakap Tabung Haji.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 3,438 jemaah haji sudah berada di Makkah dan selebihnya masih berada di Madinah dan akan memasu ki kota Makkah secara berperingkat.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 450 orang tiba di Tanah Suci pada 20 Oktober lalu.

Jurucakap itu berkata, jemaah haji yang menaiki penerbangan pada 3 November sehingga penerbangan terakhir 20 November akan terus dibawa ke Makkah untuk mengerjakan umrah dan haji sebelum ke Madinah untuk menziarahi Masjid Nabawi serta tempat lain yang bersejarah.

Di Makkah, jemaah haji Malaysia ditempatkan di 10 tempat penginapan (Maktab Tabung Haji) yang disewa oleh pihak Tabung Haji dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk kaunter pengeluaran wang, klinik, perkhidmatan dobi serta kaunter yang menjual kad prabayar telefon.

Dengan musim haji yang kian hampir, kota Makkah kini dibanjiri oleh puluhan ribu jemaah haji dari seluruh dunia, terutama dari negara Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Pemerhatian media Tabung Haji mendapati keadaan ini menjadikan suasana di kota Makkah berwarna-warni terutama di kalangan jemaah haji wanita yang memakai tudung pelbagai warna seperti merah, kuning, hijau, biru dan merah jambu.

Sebelum ini kaum wanita di kota Makkah sinonim dengan pakaian hijab berwarna hitam yang menjadi pakaian wajib bagi wanita Arab Saudi ketika keluar dari rumah untuk membeli-belah atau bersiar-siar bersama keluarga.

Pemerhatian media dalam Masjidilharam pula mendapati tidak ramai jemaah haji memakai topeng muka sebagai perlindungan daripada gejala Influenza A (H1N1).

Tiada ulasan: