Selasa, 17 November 2009

11 calon SPM lepak di pusat karaoke kena cekup

BERITA HARIAN ONLINE



PENOLONG Pegawai Pelajaran Daerah dan Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pelajaran Terengganu, Jaafar Ismail menasihati pelajar yang ditangkap di pusat karaoke Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Ketika rakan lain sibuk mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok, sekumpulan 11 pelajar Tingkatan Lima mencari hiburan dengan mengunjungi pusat karaoke di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, semalam.

Pelajar dari sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu itu sanggup ponteng sekolah serta menunggang motosikal 50 kilometer kononnya untuk melepaskan tekanan disebabkan akan menduduki peperiksaan.

Bagaimanapun, tindakan mereka akhirnya membawa padah apabila tempat berkenaan diserbu anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) selepas dimaklumkan oleh orang awam.

Jurucakap JPNT, ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerbu premis terbabit selepas mendapat panggilan daripada orang awam jam 11.30 pagi mengatakan dia terserempak sekumpulan pelajar menuju ke pusat karaoke.

Katanya, selepas mendapat laporan, dia bersama beberapa pegawainya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati 11 pelajar lelaki yang berpakaian biasa asyik menyanyi di bilik karaoke.

Sementara itu, seorang pelajar yang dicekup dan enggan namanya disiarkan, berkata dia hanya berkunjung ke pusat karaoke berkenaan untuk berehat dan berhibur bersama rakan sementara menanti hari peperiksaan.

"Hari ini cikgu tidak mengajar, jadi kami disuruh pulang kerana sekolah adakan sembahyang hajat, lagipun kami datang sini suka-suka untuk menyanyi bagi menghilangkan tekanan sebelum peperiksaan," katanya.

Tiada ulasan: