Isnin, 19 Oktober 2009

Wanita Umno jangan malu ketengah isu wanita, keluarga

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menggesa semua anggota pergerakan itu supaya tidak segan silu membangkitkan isu-isu berkaitan wanita, keluarga dan masyarakat.

Katanya selaras dengan pindaan perlembagaan parti barubaru ini, wanita kini bukan sahaja sekadar mengisi kekosongan jawatan, malah bertanggungjawab kepada amanah dan kepercayaan yang diberikan untuk membantu dalam misi pembangunan negara.

"Wanita jangan rasa takut, beranikan diri, penuhkan diri dengan ilmu untuk bawa isu-isu wanita, keluarga dan masyarakat. Isu ini mesti diberi perhatian dan dibawa ke meja rundingan dan dibuat keputusan.

"Kalau kita dapat selesaikan isu wanita, keluarga dan masyarakat maknanya kita tentu boleh menambat hati separuh daripada rakyat Malaysia yang juga pengundi kita pada pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Festival Mahasiswa Universiti Malaya (Femina) 2009 di Universiti Malaya (UM) di sini.

Pada majlis itu juga, Shahrizat mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada UM, iaitu RM10,000 untuk meneruskan aktiviti Femina manakala RM10,000 lagi kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima satu resolusi untuk menubuhkan Majlis Mahasiswi Nasional (Masisna) di bawah kementeriannya bagi menangani isuisu berkaitan wanita melibatkan kerjasama antara mahasiswi seluruh negara.

Ketika diminta mengulas mengenai pergolakan dalaman MCA, Shahrizat yang juga Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) yakin Presiden parti itu, Datuk Seri Ong Tee Keat akan membuat keputusan dengan mempertimbangkan kebaikan kepada seluruh anggota parti komponen BN.

Katanya Ong adalah seorang pemimpin yang banyak pengalaman dalam politik serta bijak dalam menangani situasi tertentu.

"Datuk Seri Ong Tee Keat adalah seorang ahli politik yang lama, pejuang yang meletakkan negara dan parti sebagai matlamat utama. Beliau juga adalah pemimpin yang mempunyai pengalaman dan saya amat percaya bahawa apa jua keputusan yang beliau buat adalah untuk kebaikan semua bukan sahaja MCA tetapi BN," katanya.

Dalam pada itu, Shahrizat menegaskan bahawa Umno tidak ada hak untuk mencampuri urusan dalaman parti MCA dan parti komponen BN yang lain.

Tiada ulasan: