Selasa, 20 Oktober 2009

Undi pos: Suhakam didesak adakan siasatan awam

Jimadie Shah Othman


Dewan Pemuda PAS (DPP) pusat akan mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya mengadakan siasatan awam berhubung dakwaan berlakunya kepincangan dalam proses pengundian undi pos dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober lalu.

Berikutan itu, Ketuanya, Nasrudin Hassan akan menyerahkan memorandum berkaitan dengan desakan tersebut kepada Suhakam esok.

Beliau dijadual menyerahkam memorandum itu pada jam 10 pagi dengan diiringi oleh para exco dewan berkenaan.

Turut disertakan bersama memorandum tersebut ialah dua laporan polis yang pernah dibuat oleh DPP berhubung undi pos di Bagan Pinang, lima kenyataan akhbar DPP serta senarai daftar pemilih pos yang telah ditanda serta bukti-bukti bergambar berhubung dakwaan penyelewengan tersebut.

Menurut Nasrudin, DPP mengambil keputusan untuk mengadu kepada Suhakam kerana semua tindakan, termasuk memanjangkan perkara kepada pihak berkuasa, tetapi sehingga ini tidak nampak hasilnya.

"Demonstrasi kita dah buat, laporan polis kita dah buat, aduan kepada SPRM pun kita telah buat, tetapi kita tidak nampak hasil," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Terdapat lima kes besar yang akan diadukan kepada Suhakam, antaranya proses penyerahan kertas undi, perbezaan susunan dalam daftar undi pos dan nama pengundi pos yang ditetapkan di dua kawasan pengundian berbeza.

Dalam pilihan raya DUN lalu, PAS memberikan pelbagai desakan kepada SPR berhubung prosedur dan pengendalian undi pos yang sering dicurigai pembangkang sebelum ini.

Bagaimanapun, calon BN Tan Sri Isa Samad tetap menang besar dengan jumlah 5,345 undi majoriti. Beliau yang mendapat 8,013 undi mengalahkan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan 2,578 undi.

Manakala bagi undi pos pula, BN mendapat 3,521 undi dan PAS mendapat 601 undi.

DUN Bagan Pinang mempunyai jumlah pengundi pos yang sangat ramai, 4,611 daripada keseluruhan 13,664 pengundi. Seramai 4,571 merupakan anggota tentera.

Tiada ulasan: