Khamis, 8 Oktober 2009

Tubuh pasukan petugas khas kaji kelemahan PKFZ

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk mengenal pasti kelemahan tadbir urus dan pengurusan pelaksanaan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) serta langkah penambahbaikan yang perlu diambil.

Pasukan itu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan turut berperanan mengenal pasti langkah yang perlu diambil bagi menjadikan PKFZ lebih berdaya maju.

Mohd. Sidek dalam kenyataannya di sini hari ini memberitahu, pasukan itu turut dianggotai oleh 10 ahli dari agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Antara anggota yang dilantik menyertai pasukan itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Wan Abdullah; Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Kee Lian Yong.

Turut dilantik ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LIN Associates Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Lin See Yan; Vinayak P.Pradhan dari Tetuan Skrine and Co.; Pengarah Urusan PriceWaterHouseCoopers Advisory Services, Chin Kwai Fatt; Presiden Institut Akauntan Malaysia, Abdul Rahim Abdul Hamid dan Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zakaria Bahari akan bertindak selaku setiausaha pasukan dengan dibantu oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pengangkutan, Datuk Long See Wool.

''Pasukan ini dari semasa ke semasa akan memanggil pihak berkaitan untuk turut serta dalam mesyuarat bagi memberi penjelasan dan pandangan,'' ujarnya.

Mohd. Sidek memberitahu, terma rujukan pasukan tersebut adalah mengenal pasti kelemahan tadbir urus pengurusan pelaksanaan projek PKFZ.

Ia diikuti dengan mencadangkan langkah penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan, menentukan sama ada terdapat salah laku individu tertentu dan mengesyorkan tindakan untuk diambil terhadap pesalah laku terbabit.

Terma seterusnya adalah menilai kedudukan kewangan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan PKFZ, merangka model perniagaan bagi memajukan kedua-duanya serta mengesyorkan pelan dan strategi bagi menarik pelaburan tempatan dan asing.

Sementara itu di KAJANG, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis yakin dapat melengkapkan siasatan berhubung projek PKFZ dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung kes itu.

"Kita telah menemui kejayaan berhubung siasatan isu PKFZ dan polis akan mengambil tindakan sewajarnya selepas ini," katanya selepas mendengar taklimat berhubung Operasi Utama Perdana di sekitar Kajang di sini hari ini.

Ketika ditanya bilakah siasatan tersebut akan selesai sepenuhnya, beliau memberitahu, masa akan menentukan perkara tersebut.

Pada 4 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan polis telah membekukan beberapa akaun termasuk, milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. yang merupakan kontraktor siap guna projek PKFZ, yang dipercayai menjadi bukti dalam siasatan kes projek itu

Tiada ulasan: