Rabu, 7 Oktober 2009

Tiada rakyat Malaysia cedera dalam insiden pengeboman di Islamabad

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad mengesahkan kesemua rakyat Malaysia selamat, selepas berlakunya insiden pengeboman di pejabat Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Islamabad, Pakistan kelmarin.

Kenyataan Kementerian Luar yang dikeluarkan di sini semalam menyebut tiada laporan kecederaan atau kematian membabitkan rakyat Malaysia dalam insiden itu.

Menurut pihak berkuasa Pakistan, satu lagi insiden pengeboman dijangka dilancarkan oleh pengebom berani mati pada skala yang lebih besar.

"Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihati supaya lebih berwaspada dan mengelak daripada pergi ke kawasan yang berpotensi menjadi sasaran," menurut kenyataan itu, yang menambah bahawa kementerian dan suruhanjaya tinggi akan terus memantau keadaan serta mengeluarkan laporan yang sewajarnya.

Dalam insiden itu, seorang pengebom berani mati memasuki pejabat tempat 80 petugas PBB sedang bekerja sebelum meledakkan letupan yang mengakibatkan tiga orang terbunuh dan enam orang cedera.

Mangsa yang terbunuh terdiri daripada dua wanita Pakistan dan seorang lelaki warga Iraq.

Tiada ulasan: