Rabu, 7 Oktober 2009

Tiada cadangan segera terokai tenaga nuklear - Najib

BERNAMA


PARIS: Perancis mahu hubungan baiknya dengan Malaysia dikekalkan serta meminta Malaysia menimbang kemampuan teknologi syarikat negara itu dalam bidang pengurusan sisa pepejal, pengangkutan darat dan tenaga nuklear untuk meneroka bidang baru dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Perancis Francois Fillon kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan mereka di kediaman rasmi Perdana Menteri Perancis itu di sini pada Selasa sempena lawatan rasmi empat hari Najib ke Perancis bermula Ahad.

Bercakap kepada pemberita Malaysia, Najib berkata dalam pertemuan itu beliau juga menyampaikan hasrat AirAsia untuk mendapatkan hak pendaratan di Paris.

Beliau berkata adalah wajar untuk dipertimbangkan permohonan AirAsia untuk mendapatkan hak pendaratan di Lapangan Terbang Orly memandangkan syarikat itu merupakan pelanggan terbesar pesawat Airbus A320 buatan bersama Perancis.

Katanya Fillon memaklumkan bahawa AirAsia telah ditawarkan hak pendaratan di luar Paris dan permohonan untuk mendapatkan hak pendaratan di Paris itu akan dipertimbangkan.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh mengenai isu-isu global seperti kerangka kewangan baru dunia dan perubahan iklim.

Mengenai pertemuannya dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) Angel Gurria yang juga berlangsung pada Selasa, Najib berkata Gurria telah mengambil maklum tentang usaha yang dilakukan oleh Malaysia untuk memperbaiki keadaan setelah Malasyia sebelum ini dilaporkan pernah "disenaraihitam" oleh OEDC.

Menurut satu laporan pada April lepas, Malaysia dan tiga negara lain yang disenaraihitam oleh OECD kerana dianggap tidak memberi kerjasama dalam menyediakan kemudahan cukai, digugurkan daripada senarai itu setelah masing-masing bersetuju akur dengan peraturan pertubuhan itu.

Najib berkata bahawa Gurria juga telah mencadangkan agar Malaysia mengambil bahagian dalam kajian pencapaian bidang pendidikan yang kini disertai lebih 60 negara untuk menanda aras pencapaian pendidikan Malaysia dengan negara lain.

Mengenai tenaga nuklear, Perdana Menteri berkata ianya merupakan satu pilihan jangka panjang dan sesuatu yang tidak mudah dilaksanakan.

"Jika pada satu peringkat nanti kita membuat keputusan bahawa Malaysia perlu menjana elektrik menggunakan tenaga nuklear, kita akan membuat keputusan itu tetapi bukan sekarang," katanya.

Katanya kerajaan perlu mempunyai imbangan yang betul dalam penggunaan bahan bakar kerana pada masa ini ia tidak berada di tahap optimum disebabkan terlalu bergantung kepada arang batu dan gas.

"Langkah pertama ialah dengan meningkatkan komponan hidro dan menimbang penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar," kata Najib.

Mengenai penubuhan Tabung Amanah Kerjasama UnescoMalaysia yang beliau umumkan dalam ucapannya pada persidangan am Unesco sebelum itu, Perdana Menteri berkata ia bertujuan membantu negara-negara kurang maju membangun meningkatkan keupayaan masing-masing dalam menyediakan pendidikan berkualiti.

Tiada ulasan: