Isnin, 26 Oktober 2009

Tetap mohon bonus 2 bulan gaji

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN


KUALA LUMPUr – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memutuskan untuk tetap memohon supaya kerajaan memberi dua bulan bonus kepada 1.2 juta penjawat awam pada tahun ini.

Pada masa sama, kesatuan itu juga meminta supaya bayaran khas RM500 yang diberi kepada semua penjawat awam sehingga gred 54 dan pesara wajib, diperluaskan kepada pesara pilihan.

Presidennya, Omar Osman berkata, ahli majlis kongres CUEPACS telah memutuskan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, tuntutan dua bulan bonus itu telah dinyatakan sebelum Bajet 2010 dibentangkan dan ia dikemukakan semula apabila tiada pengumuman mengenainya dalam belanjawan berkenaan.

“Kita akan hantar surat kepada Perdana Menteri esok untuk bincang mengenai tuntutan bonus dua bulan gaji dan juga perluasan bayaran khas RM500 kepada pesara pilihan selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Pesara pilihan sepatutnya turut menerima bayaran itu memandangkan mereka telah sama-sama berkhidmat memajukan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai isu-isu melibatkan kakitangan sektor awam di Wisma CUEPACS di sini hari ini.

Kira-kira 120 ahli kongres hadir dalam mesyuarat itu yang membincangkan isu-isu berhubung Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Omar menjelaskan, pembayaran bonus dua bulan itu dan perluasan bayaran khas kepada pesara pilihan adalah wajar bagi menghargai kegigihan kakitangan awam selama ini.

“Kita berharap dua tuntutan kami ini dapat dipertimbangkan bagi membolehkan penjawat awam menjalankan tugas dengan lebih komitmen dan motivasi,” katanya.

Tiada ulasan: